MUKAH: Menteri Muda Pertanian Dr Abdul Rahman Ismail mengadakan lawatan kerja ke Bahagian Mukah bagi meninjau tempat pengeluaran pertanian dan produk makanan.

Dalam siri lawatan dua hari itu, lokasi pertama yang ditinjau ialah Projek Kerepek Pisang dan pelbagai makanan ringan lain jenama Halisa di Kampung Masjid, Balingian.

Pemiliknya, Halipah Sihu terlibat dalam perniagaan berkenaan sejak 2009 dan menerima bantuan melalui Program Industri Asas Tani (IAT) pada 2009, 2013, 2015 dan 2019.

Dia kini mencapai tahap tiga iaitu jualan tahunan hampir RM700,000 pada 2018 dan berjaya menembusi pasaran Brunei.

Untuk mencapai tahap empat, Dr Abdul Rahman mengarahkan Jabatan Pertanian Sarawak membantu Halipah bagi mendapatkan sijil MESTI dan sijil Halal bagi meningkatkan usaha mencapai tahap empat iaitu jualan tahunan melebihi RM1 juta.

Lokasi kedua dilawati ialah Taman Kekal Pengeluaran Makanan Penipah di Jalan Mukah-Balingian yang baru beroperasi tahun ini.

Taman Kekal Pengeluaran Makanan itu mempunyai 14 peserta yang dibahagikan kepada 12 lot dengan setiap lot berkeluasan 3.5 hektar.

Rombongan itu melawat lot kepunyaan Tiong Kung Sing yang mengusahakan tanaman tembikai menggunakan jentera moden dan kini memasuki pusingan kedua.

Tuaian pusingan pertama berjaya menghasilkan 40 tan yang bernilai RM60,000 dengan pasaran sehingga ke Bintulu.

Turut dilawati kolam udang putih milik Maliki @ Sulhamid Sait yang mempunyai empat kolam, masing-masing dua untuk ternakan udang dan dua lagi untuk ternakan ikan tilapia dan siakap.

Kolam ternakan udang diusahakan untuk tuaian dua kali setahun dengan setiap tuaian menghasilkan 10 hingga 15 tan udang untuk pasaran hingga Bintulu dan Sibu.

Secara kasarnya, Maliki berjaya memperoleh pendapatan RM30,000 sebulan dan perniagaannya mendapat bantuan melalui Program Usahawan Akuakultur (PUA) pada 2018 daripada Jabatan Pertanian bernilai RM100,000.

Dia berhasrat menambah kolam ikan dengan memohon modal daripada dana modal teroka Kerajaan Sarawak.

Lokasi terakhir yang dilawati ialah kilang penghasilan produk berasaskan sagu seperti Sagu Medong, Sagu Ngiur, Sagu Kombo dan Sagu Tumpik milik Masinah Paris.

Kilang sagu ini mula beroperasi pada 2005 dengan mendapat pelbagai bantuan di bawah program IAT.

Penghasilan produk mengikut cara tradisi dengan menggunakan kuali yang diperbuat daripada tanah dan kayu sebagai bahan api.

Pasaran produknya adalah di seluruh Sarawak dengan pendapatan bertambah setiap tahun.

Pada 2018, pendapatannya mencecah RM280,000 setahun.

Siri lawatan tersebut turut disertai Adun Balingian Abdul Yakub Arbi dan beberapa pegawai kementerian dan jabatan berkaitan.