KUCHING: Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM3.5 juta kepada komuniti Sikh untuk menaiktarafkan bangunan ibadatnya, di Jalan Masjid.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, komuniti Sikh turut menyumbang kepada pembangunan di Sarawak yang mempunyai pelbagai kaum.

“Kita di Sarawak amat bertuah kerana memiliki sikap toleransi yang amat tinggi. “Kita menubuhkan Unit Untuk Agama-agama Lain Sarawak (Unifor) agar semua agama di negeri ini bergerak bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis bersama dengan komuniti Sikh dan Perayaan Vaisakhi di Kuil Sikh di Jalan Masjid semalam.

Menurut Abang Johari, apabila kuil berkenaan dibesarkan, Kuil Sikh bakal dikelilingi perkhidmatan gas hidrogen.

“Senario di Jalan Masjid bakal berubah apabila wujudnya perkhidmatan bas hidrogen pertama di Sarawak.

“Maka kuil Sikh ini paling beruntung kerana dilengkapi kemudahan awam terbabit,” jelasnya.

Terdahulu Presiden Persatuan Kuil Sikh Dr. Kalwinder Singh Khaira berkata, ekoran pertambahan komuniti Sikh, Kerajaan Sarawak meluluskan mengasingkan tanah belakang bersebelahan semasa lawatan Ketua Menteri pada Mei 2017.

“Pemberian itu amat bermakna terutama kepada generasi muda apabila bangunan baharu dirancang dibina dilengkapi sekolah, dewan, perpustakaan dan lain-lain.

“Maka, kerja pembinaan bangunan baharu itu dijalankan secepat mungkin dan mengambil masa 15 hingga 18 bulan,” ujarnya.

Beliau turut berterima kasih kepada Unifor yang menjaga kebajikan agama lain terutamanya kaum minoriti.

Turut hadir Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr. Sim Kui Hian.