MUKAH: Tabika Kemajuan Masyarakat (Kemas) Zon 1 dari, Mas Gading, Santubong, Petrajaya, Stampin, Puncak Borneo dan Bandar Kuching bakal mewakili Sarawak dalam Hari Potensi Tabika Kemas Peringkat Kebangsaan 2019 yang bakal diadakan di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang pada 4 hingga 7 September akan datang.

Menurut Pegawai Kemas Bahagian Kuching, Lindawati Haji Padiel menjelaskan beliau berasa sungguh gembira atas kejayaan semua pelajar dan guru-guru termasuk ibu bapa dari zon 1 yang telah berjaya menjadi juara peringkat Sarawak dan berjaya untuk mewakili Sarawak ke peringkat seterusnya.

“Saya berasa sungguh gembira dan semua kerja keras kita selama ini sungguh berbaloi dan berbayar sehingga kita berjaya menjadi juara untuk Hari Potensi Tabika Kemas Peringkat Negeri Sarawak 2019 ini di Bahagian Mukah ini,” katanya dengan air mata kegembiraan ketika ditemui wartawan Suara Sarawak semalam.

Dari segi persediaan katanya pihaknya kini akan lebih bekerja keras dan berusaha untuk terus memperbaiki apa-apa kelemahan yang dihadapi sebelum ini sepanjang menyertai pertandingan terutama prestasi anak-anak tabika tersebut.

“Kita akan lebih berkerja keras lagi selepas ini dan akan terus memperbaiki segala kelemahan yang kita hadapi sebelum ini, kerana kini kita sedang membawa bendera Sarawak ke peringkat kebangsaan, kita akan hadapinya dengan penuh usaha gigih,” ujarnya.

Mengulas mengenai kejayaan beliau selaku ketua untuk zon 1 yang menjadi juara keseluruhan semalam beliau menjelaskan pihaknya telah lama menjalankan latihan sejak awal tahun ini bersama guru dan pelajar.

“Kita telah lama berlatih sejak awal tahun ini, dan mula berlatih untuk bertanding di peringkat zon, diikuti bahagian dan seterusnya peringkat Sarawak sehingga bulan Julai ini.

“Latihan intensif juga kita lakukan pada penghujung Julai sebagai persediaan untuk peringkat Sarawak, saya boleh lihat jelas hasil kerja keras kami amat berbaloilah,” katanya.

Ujarnya lagi pelajar-pelajar yang turut serta mewakili zon 1 tersebut juga menunjukkan komitmen yang tinggi ditambah dengan sokongan pada dari ibu bapa yang tidak berbelah bagi.

“Anak-anak ini sungguh komited dengan sokongan pada dari ibu bapa mereka yang sanggup setiap hari menghantar anak ke Kemas untuk latihan dan mereka juga turut datang untuk bersama-sama kita hari ini untuk bertanding ke peringkat negeri di Mukah ini, sungguh saya kagumi.

“Kemudian dengan ramai saingan sengit dari 5 zon yang menjadi pesaing ini kita dalam setiap acara yang dipertandingkan, turut menjadi cabaran kita, dan tambahan anak-anak ini sangat memberi kerjasama yang padu dan kita syukur dapat menjadi juara keseluruhan,” ujarnya.

Dalam Hari Potensi Tabika Kemas Peringkat Negeri Sarawak 2019 yang telah berkahir semalam, Tabika Kemas dari Zon 1 telah mengalahkan lima zon dari seluruh Sarawak yang bertanding dan seterusnya akan terus bersaing dengan semua wakil dari beberapa negeri yang bertanding pada bulan depan.

Pegawai Kemas Bahagian Kuching, Lindawati Haji Padiel (kanan) turut dibantu oleh Pegawai Kemas Daerah Bau Lundu, Jeswin Liew (kiri)