KUCHING: Kerajaan Sarawak memberi peruntukan lebih RM50 juta untuk membantu lebih 300 rumah ibadat di negeri ini sejak ia ditubuhkan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak mula menganjurkan Simposium Kebudayaan Sarawak tahun 1988 dan ia menjadi platform bagi mengenal budaya dan etnik masyarakat yang berbeza selaras dengan kemakmuran negeri ini.

“Penubuhan Unit Agama Lain (Unifor) pada 26 Mei 2017 menjaga keperluan agama lain dan ia menunjukkan komitmen serius Kerajaan Sarawak dalam menjaga kepentingan rakyat,” ujarnya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Muda Jalan Pesisir Datuk Julaihi Narawi dalam Majlis Perasmian Sarawak’s Pride Project Maze di Tebingan Kuching, semalam.

Dalam hal berkaitan, Abang Johari turut menyatakan Kerajaan Sarawak akan sentiasa memberi sokongan kepada usaha seperti yang dilakukan olehYayasan Perpaduan Sarawak dalam projek tersebut.

“Ia merupakan satu pencapaian yang mana kisah dan kejayaan Sarawak dikongsi bersama dengan golongan muda dalam projek tersebut.

“Cerita-cerita pendek yang dikarang oleh rakyat serta perkongsian dijadikan dokumentasi untuk tatapan generasi yang akan datang,” katanya lagi.

Tambahnya, ia menjadi lambang keharmonian daripada perkongsian cerita individu rakyat di negeri ini dan menunjukkan ikatan perpaduan dalam kalangan masyarakat kita di sini.

“Saya dimaklumkan terdapat banyak penyertaan dan cerita yang dihantar oleh orang bukan ‘anak jati Sarawak’ namun mereka mempunyai ‘jiwa anak Sarawak.

“Ia menunjukkan bahawa kita di Sarawak perlu menghidupkan nama sebagai model dan lambang negeri perpaduan dan harmoni,” jelasnya.

Turut hadir Yang di-Pertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud, mantan Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu Numpang dan Ketua Eksekutif Yayasan Perpaduan Sarawak Datuk Aloysious J. Deris.