“ALHAMDULILLAH…rezeki masih lagi memihak kepada kita, saya sangat bersyukur.”

Demikian pengakuan jurulatih Kuching FA, Ideris Untong mengenai kemenangan 1-0 ke atas Johor Bahru dalam aksi sengit di Larkin Sabtu lalu.

Pemain pertahanan dari Bintulu Sahran Samad muncul wira Kuching FA setelah menjaringkan gol tunggal melalui tandukan dalam masa kecederaan (minit ke-91) hasil hantaran lintang cantik Yuta Suzuki.

Ia merupakan gol sulung Sahran setelah menempuhi 15 perlawanan.

“Nasib baik kami dapat jaringkan gol pada minit-minit terakhir. Terima kasih atas doa anda semua.

“Permainan bagus, pengadil pun bagus, pasukan kita bagus dan pasukan lawan pun bagus,” jelas Ideris.

Dengan kemenangan itu, Kuching FA kekal menerajui takhta liga dengan catatan 13 kemenangan dan dua seri.

Malah mereka juga belum terkalah sehingga kini.

“Tahniah kepada semua pemain yang tidak berputus asa hingga ke minit-minit akhir.

“Nampaknya ‘heng menang’ masih memihak kepada kita,” jelas Ideris.

Kuching FA akan menentang Batu Dua di Stadium Sarawak pada 17 Ogos (Sabtu). Tiada perlawanan hujung minggu ini.