KUCHING: Cadangan Kad Emas (Golden Card) mendapat respon positif dan bakal direalisasikan sebelum akhir tahun ini.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, cadangan mewujudkan kad tersebut disuarakan pada bulan lalu.

“Kita telah melihat respon orang ramai dalam hal tersebut melalui media sosial sangat positif dan menggalakkan.

“Dalam beberapa minggu akan datang, kita akan duduk untuk memastikan bahawa Kad Emas yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Majlis Wanita dan Keluarga akan menjadi kenyataan sebelum akhir tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam ‘Grandparents Nite’ kelmarin.

Tambahnya, dalam sebuah keluarga datuk dan nenek sangat berharga kepada cucu serta penting dalam hubungan kekeluargaan yang utuh.

Kata Fatimah, kehadiran mereka akan menyumbang kepada asas dan kekuatan dalam struktur kekeluargaan.

“Walaupun sudah berumur, datuk dan nenek memberikan sumbangan yang tidak ternilai kepada keluarga.

“Ada sanggup menjaga cucu dan menghantar mereka ke sekolah dan sebagainya,” jelas beliau. Fatimah menyatakan, warga emas belajar bagaimana hendak menggunakan gajet teknologi terkini dengan cucu mereka.

“Masa kita luang dengan mereka menjadikan kehidupan kita lebih bermakna dan bahagia.

“Sebagai ibu bapa sebelum ini, sumbangan kita kepada anak tidak ternilai begitu juga kepada cucu,” katanya.

Selain itu, Fatimah mengingatkan peranan warga emas tidak boleh dipandang remeh kerana mereka bukan sahaja menyumbang kepada keluarga tetapi juga kepada komuniti.

Majlis anjuran Persatuan Gerontologi dan Geriatrik Sarawak bertemakan Sarong Nyonya itu dihadiri 260 tetamu.

Hadir bersama Penasihat Persatuan Gerontologi dan Geriatrik Sarawak Irene Yong, Presidennya Dennis Tan serta Naib Presiden Jee Tzin Kit.