PASUKAN Miri membenam KSRES Samarahan 5-1 untuk menjuarai kategori wanita Kejohanan Futsal Piala Sarawak 2019 (SFC19) di Riveria Sport Centre Debak, semalam.

Miri yang turun dengan jersi putih meledakkan empat gol pada separuh masa kedua selepas terikat 1-1 pada babak pertama.

Walaupun jaringan sulung dihasilkan oleh KSRES Samarahan pada minit keempat, namun mereka gagal menambah
sebarang gol selepas itu.

Sebaliknya, gawangan mereka terus bolos pada separuh masa kedua.

Beberapa gol Miri dihasilkan dua minit selepas masa kedua bermula, satu lagi pada minit ke-10 dan selang seminit selepas itu serta gol kelima terhasil melalui sepakan percuma 30 saat sebelum tamat perlawanan.

Kemenangan bergaya Miri membolehkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 beserta piala dan trofi.

Dua pemain Miri menerima Anugerah Pemain Terbaik (Kelly Kennedy) dan Anugerah Penjaga Gol Terbaik (Nur Ezza Izzatul).

Sementara KSRES Samarahan meraih RM3,000 beserta piala dan trofi.

Tempat ketiga bersama yang menjadi milik 9 Abwab Kuching dan SDFC masing-masing menerima RM2,000 beserta piala dan trofi.

Hadiah kepada disampaikan oleh Temenggung Bahagian Betong Pi’ee Alwi mewakili Adun Saribas Mohammad Razi Sitam

Hadir sama Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) Datuk Posa Majais.