KUCHING: Seramai 230 individu termasuk 20 wanita ditangkap sepanjang operasi ice breaker yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak selama dua hari.

Menurut Ernadia Wahida Cluny, 21 tahun berasal dari Samarahan berkata, pada era kini sememangnya ramai belia yang terlibat dalam aktiviti dadah terutamanya golongan remaja yang tidak mendapat perhatian dan pemantauan daripada ibu bapa.

“Keadaan ini disebabkan pengaruh orang sekeliling amat tinggi serta keinginan mereka untuk mencuba sesuatu yang baharu mendorong mereka terjebak dalam kancah tersebut.

“Pihak polis dan AADK perlu memperketatkan lagi pemantauan terutama kawasan panas untuk mengurangkan jumlah belia yang terlibat di samping membanteras penyalahgunaan dadah di Sarawak,” katanya.

Menurut Muhammad Nasharudin Morni, 22 tahun yang merupakan Penolong Pentadbir, kseronokan duniawi merupakan punca utama kenapa remaja terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

“Disebabkan remaja lebih rapat dengan rakan sebaya berbanding keluarga, mereka mudah terpengaruh dalam aktiviti yang tidak bermoral,” katanya.

Selain itu, beliau juga menyarankan hukuman diperketatkan lagi kerana jika tidak menggunakan tindakan keras maka mereka tidak akan takut untuk mengulangi kesalahan sama walaupun dikenakan denda.

Sementara itu, menurut Nur Adha Baka, 20, dan merupakan seorang pembantu kedai makan mengatakan, punca utama belia terlibat dalam dadah adalah kerana tekanan perasaan terutama bagi mereka yang berasal dari keluarga yang bermasalah.

“Hal ini menyebabkan mereka mengambil jalan pintas untuk melupakan masalah dengan terpengaruh ajakan rakan-rakan untuk mencuba ubatan terlarang,” ujarnya.

Adha menggesa pihak berkuasa untuk melakukan kempen kesedaran mengenai dadah, mengadakan kaunseling kepada mereka yang terlibat serta bertindak dengan lebih cepat untuk menangkap penjual dadah.

Menurut Nazri Sabri, 25, yang merupakan pengimpal kapal mengatakan pengaruh rakan sebaya merupakan punca utama keterlibatan belia dalam penyalahgunaan ubat-ubatan terlarang.

“Jika kita salah memilih rakan maka kemungkinan besar kita akan mudah terpengaruh dengan aktiviti negatif yang dilakukan oleh mereka.

“Semua pihak memainkan peranan penting dalam memastikan penyalahgunaan dadah di Sarawak dapat dibanteras secara habis-habisan,” tegas Nazri.