KUCHING: Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Hamzah telah mengetuai delegasi ke Chengdu China untuk lawatan kerja pada 29 Julai hingga 2 Ogos lalu.

Delegasi terdiri daripada 27 ahli telah membuat kunjugan hormat ke Jabatan Kebudayaan dan Pelancongan Wilayah Sichuan pada 30 Julai.

Rombongan disambut Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan China, Yan Sasuang dan Pengarah Kerjasama dan Pertukaran Antarabangsa Yuan Shijun.

Semasa lawatan tersebut, kedua-dua pihak membincangkan mengenai manfaat bersama termasuk strategi untuk bekerjasama dan peluang, terutamnya dalam bidang pelancongan, seni dan budaya.

Selain kunjungan hormat itu, sesi Business to Business (B2B) dianjurkan dengan kerjasama Perkhidmatan Perjalanan Antarabangsa Sichuan.

Acara sehari itu diterima baik dan disertai 11 pengusaha pelancongan Sarawak, pengusaha hotel, persatuan pelancongan, kraftangan, pemilik produk dan 38 pengusaha pelancongan dari Malaysia di seluruh China.

Sesi B2B itu merupakan saluran baik untuk mempromosikan Kempen Melawat Sarawak kepada pengusaha pelancongan di Chengdu dengan matlamat menarik lebih banyak pelancong dari China melawat Sarawak.

Syarikat tempatan Sarawak juga menganjurkan taklimat kepada rakan di China mengenai produk dan promosi pelancongan yang terkini di Sarawak.

Delegasi juga membuat kunjugan hormat ke China Express Air dan disambut Naib Presiden Henry Ke Qiu yang.

Dalam pertemuan itu, mereka membincangkan kemungkinan mewujudkan kerjasama pada masa hadapan.

Menurut Karim, mesyuarat itu diakhiri satu kerjasama yang akan wujud bersama Kerajaan Sarawak dan China Express Air. Menurutnya lagi, kunjungan

kerja ke Chengdu sebahagian daripada usaha Kerajaan Sarawak untuk menarik lebih ramai pelancong China untuk bertandang ke negeri ini termsuk meningkatkan pelaburan sekali gus meningkatkan tahap ekonomi tempatan.

Turut hadir semasa lawatan tersebut Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Lee Khim Shim dan Setiausaha Tetap Kementerian, Hii Chang Kee.