MIRI: Helikopter dari Unit Udara Bomba Miri akan digunakan untuk memadamkan kebakaran hutan serta tanah gambut esok yang masih berlaku di kawasan Kuala Baram.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Miri Law Poh Kiong berkata helikopter Bomba akan menggunakan kaedah water bombing untuk memadamkan serta mengelakkan kawasan yang terbakar merebak.

“Keluasan yang berjaya dipadamkan pada hari ini ialah 1.6 hektar daripada 17 hektar kawasan yang masih terbakar,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Law berkata selain menggunakan helikopter Bomba Miri esok, pasukan bomba serta kakitangan dua syarikat korporat akan membuat parit bagi mengawal kebakaran daripada merebak ke kawasan lain manakala ada pasukan akan melakukan operasi pemadaman api di kawasan berhampiran dengan parit.

Beliau berkata antara cabaran dihadapi semasa operasi pemadaman dijalankan ialah tiupan angin dan cuaca panas.