LIMBANG: Projek Lebuh Raya Pan Borneo di utara Sarawak akan melalui Brunei Darussalam, dedah Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg.

Menurutnya, ia akan diteruskan dengan peruntukan negeri setelah beliau mengadakan perbincangan dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah baru-baru ini.

“Jalan sepanjang 12 kilometer tersebut akan diteruskan oleh Kerajaan Sarawak.

“Kita berharap dengan siapnya jalan raya tersebut kelak, ia akan mengukuhkan lagi hubungan di antara Sarawak dan Brunei.

“Seterusnya dapat membangunkan ekonomi kedua-dua negara, terutama dari segi pertanian, penternakan kerbau dan lain-lain,” katanya semasa menghadiri Majlis Jamuan Tengah Hari Bersama Ketua Menteri Sarawak di sini, semalam.’

Abang Johari memberitahu, kawasan Limbang akan berubah wajah tidak lama lagi kerana banyak projek sedang dilaksanakan di bandar itu.

“Kawasan ini mempunyai potensi besar untuk dibangunkan, malah ia juga kaya dengan sumber bumi yang mampu melonjakkan ekonomi negeri.

Timbalan Ketua Menteri Awang Tengah Ali Hasan; Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan Pemangku Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Jaul Samion merupakan antara kenamaan yang hadir pada majlis itu.

Turut hadir Menteri Muda Pertanian Dr Abdul Rahman Ismail; Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah dan Adun Batu Danau Paulus Palu Gumbang.

Abang Johari berkunjung ke bandar ini semalam untuk melihat sendiri perjalanan projek-projek yang telah diluluskan beliau sebelum ini.

“Saya mahu melihat sama ada projek dilaksanakan di Limbang berjalan dengan baik serta dapat disiapkan mengikut masa atau tidak,” ujarnya. Hasil tinjauan itu, beliau mengulas, Limbang mungkin akan memiliki tebingan sungai terpanjang di Sarawak iaitu sepanjang 1.4 kilometer.