SIBU: Seorang pekerja kuari terkorban manakala 60 yang lain tinggal sehelai sepinggang apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Jalan Setapang di sini, petang semalam.

Mangsa maut dikenalpasti Jack Jubang, 40, dan dilaporkan meninggal dunia dalam perjalanan untuk menerima rawatan di Klinik Sekuau.

Penolong Kanan Penguasa Bomba , Mohamad Asnan Led berkata, kejadian yang berlaku kira-kira jam 6.10 petang memusnahkan sepenuhnya dua blok bangunan 29 pintu itu.

“Difahamkan, mangsa mengalami sesak nafas sebelum pengsan dan dihantar ke Klinik Sekuau dengan menggunakan kenderaan pekerja. Sebelum itu, dia dikatakan sempat bertindak memindahkan barang-barang dari kawasan terbakar.

Bagaimana pun, dia disahkan meninggal dunia di dalam perjalanan ke Klinik Sekuau dan mayatnya diserahkan kepada pihak Polis untuk tindakan selanjutnya. Secara keseluruhan, penghuni di kedua-dua Blok A dan Blok B adalah seramai 61 orang, kesemuanya warga tempatan dan pekerja kuari berkenaan,” katanya kepada media.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba Sungai Merah berkejar ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan pada 6.13 petang.
Bagaimana pun katanya, dua blok rumah pekerja itu musnah sepenuhnya sebelum pasukan bomba tiba di lokasi.

“Keadaan jalan yang sempit dengan melalui dua jambatan yang kecil menyukarkan jentera yang besar masuk ke kawasan kebakaran namun, kami berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke Blok C (17 Pintu) yang terletak kira-kira tiga meter dari blok B yang terbakar. Kebakaran berjaya dikawal pada 7.45 malam,” katanya.

Beliau berkata, Bomba melakukan pemadaman susulan sehingga jam 10.00 malam bagi mengelak kebakaran berulang selain memastikan sisa-sisa kebakaran padam sepenuhnya.