LIMBANG: Musim durian bukan sahaja memberikan pendapatan lumayan, malah turut mengeratkan hubungan silaturahim antara keluarga dan penduduk Kampung Lubuk Piasau.

Dusun milik arwah Panjang Tuah sudah hampir 50 tahun diusahakan dan pada masa ini diwarisi kepada 10 orang anaknya.

Menurut Nordin Panjang, 46, antara pewaris dusun durian berkata, musim durian menjadi platform untuk keluarga besar mereka berkumpul bersama-sama.

“10 orang adik beradik saya akan berkumpul bersama-sama untuk bergotong-royong membersihkan dusun durian apabila tiba musimnya.

“Dalam masa yang sama kami akan bergilir-gilir untuk memungut durian,” ujarnya semasa ditemui hari ini.

Jelas Nordin, dusun miliknya serta keluarga berkeluasan lebih 20 ekar dan mempunyai lebih dari 500 pohon durian yang kebanyakannya jenis durian kuning.

“Setiap hari lebih 1,000 biji buah berjaya di kutip olehnya secara bergotong-royong,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Kampung Lubuk Piasau, suhaili Timbang, 54 menjelaskan kawasan kampung Lubuk Piasau memiliki banyak kawasan dusun durian.

“Terdapat 20 lebih buah rumah serta 200 penduduk kampung

“Jika dikira keseluruhan kawasan Lubuk Piasau sahaja, terdapat lebih dari 5,000 pohon durian pelbagai jenis.

Tambah Ketua Kampung, kawasan kampungnya itu berpotensi besar untuk dibangunkan sama ada dalam sektor pertanian mahupun perlancongan disebabkan jaraknya yang hanya dua kilometer dari sempadan negara Brunei.

Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah turut serta merasai sendiri kemeriahan musim durian di sini, semalam.