TOKYO: Datuk Bandar Hiroshima menggesa Jepun menandatangani perjanjian PBB yang melarang senjata nuklear ketika bandar raya itu menyambut ulang tahun ke-74 sejak menjadi sasaran serangan bom atom pertama di dunia.

Perdana Menteri Shinzo Abe mengetuai peringatan di Taman Memorial Keamanan di Hiroshima sementara penduduk bertafakur sejenak, menyalakan lilin dan meletakkan lingkaran bunga untuk memperingati mereka yang terbunuh dalam pengeboman dahsyat 6 Ogos 1945.

Selanjutnya, Datuk Bandar Kazumi Matsui menggunakan kesempatan itu untuk mendesak pentadbiran Abe menandatangani perajanjian PBB berkaitan larangan senjata nuklear (TPNW), yang diluluskan oleh lebih 120 negara, tetapi ditolak oleh AS dan negara nuklear lain.

“Saya menyeru kerajaan satu-satunya negara yang mengalami serngan senjata nuklear dalam perang untuk menyetujui permintaan hibakusha (mangsa bom atom) supaya TPNW ditandatangani dan disahkan,” kata Matsui.

“Saya menggesa pemimpin Jepun menunjukkan pasifisme perlembagaan Jepun dengan mempamerkan kepimpinan dalam mengambil langkah seterusnya ke arah dunia yang bebas daripada senjata nuklear.”

Matsui menggesa pemimpin dunia datang ke Hiroshima melihat sendiri memorial tersebut. Bandar itu juga berharap menerima lawatan Pope Francis lewat tahun ini.

Ancaman berterusan daripada senjata atom di rantau ini memang wujud apabila Korea Utara melancarkan dua “projektil yang tidak dikenal pasti” di pantai timurnya terbaru dalam siri ujian.

Sementara itu AS dan Rusia pula gagal memperbaharui pakatan nuklear era Perang Dingin minggu lepas, mencetuskan kebimbangan baru terhadap perlumbaan senjata.

Sehingga kini, Jepun kekal negara tunggal yang mengalami serangan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki, beberapa hari sebelum negara itu menyerah pada 15 Ogos 1945 bagi mengakhiri Perang Dunia Kedua.

Bagi pihaknya, Abe mengulangi ikrar untuk bertindak sebagai “jambatan” antara negara dengan dan tanpa senjata nuklear untuk menghapuskan senjata nuklear dunia. – AFP