KUCHING: Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang 2019 peringkat negeri sempena Bulan Kebangsaanperkarangan Pejabat Jabatan Penerangan (JaPen) Sarawak di sini diserikan lagi dengan konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) ke seluruh Sarawak secara berperingkat bermula semalam sehingga 19 Sept.

Sebanyak 15 buah kenderaan daripada lapan agensi kerajaan selain dua kenderaan orang kenamaan (VIP) turut serta dalam konvoi KMJG antaranya Pejabat Setiausaha Persekutuan Sarawak, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Telekom Malaysia, Pos Malaysia Berhad, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan JaPen.

Majlis pelancaran di JaPen Sarawak disempurnakan oleh Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii Lee Wuen yang turut mengetuai konvoi manakala pelepasan konvoi di Wisma Bapa disempurnakan oleh Menteri Muda Belia dan Sukan Sarawak Datuk Snowdan Lawan yang mewakili Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Konvoi dengan jarak kira-kira 30 kilometer itu bermula dari JaPen Sarawak menuju ke Wisma Bapa Malaysia sebelum meneruskan perjalanan melalui Jalan Astana, Jalan Kulas, Jalan Hj Taha, kawasan Tebingan Kuching, Jalan Abell, Jalan Padungan, Jalan Pending, Jalan Kwong Lee Bank dan seterusnya kembali semula ke JaPen Sarawak.

Program itu merupakan aktiviti tahunan bertujuan menggalakkan orang ramai dan pelbagai agensi untuk mengibarkan Jalur Gemilang sama ada di kenderaan, rumah, bangunan kerajaan dan premis-premis perniagaan sepanjang Bulan Kebangsaan.

Sambutan Kempen Kibar Jalur Gemilang itu akan diteruskan di 33 daerah seluruh Sarawak sepanjang Bulan Kebangsaan ini. – Bernama