SIBU: Majlis Amanah Rakyat (MARA) sentiasa bersedia bekerjasama dengan kerajaan Sarawak untuk melahirkan dan melengkapkan usahawan bumiputera dengan kemahiran digital, kata Timbalan Ketua Pengarah Mara (Usahawan) Datuk Zulfikri Osman.

Beliau berkata dengan adanya lebih ramai usahawan yang menceburi perniagaan digital, perkembangan ekonomi digital di Sarawak yang sedang giat dibangunkan masa kini akan menjadi lebih rancak.

Mara, katanya, sentiasa menyokong apa sahaja dirancang  dengan Kerajaan Negeri untuk merancakkan lagi perkembangan ekonomi digital dan sejak awal lagi, Mara memberi sokongan dan mewujudkan ‘smart incubator’ di pejabat Mara Negeri Sarawak di Kuching untuk membantu usahawan tersebut.

“Smart incubator yang dilengkapi kemudahan ICT diperlukan berkaitan ekonomi digital ini merupakan tempat yang ditawarkan kepada mereka yang baru hendak memulakan perniagaan untuk jangka tempoh tertentu sehinggalah mereka mendapat premis perniagan sendiri di luar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Malam Apresiasi Usahawan Cemerlang Mara Daerah Sibu malam tadi.

Zulfikri, yang dalam rangka lawatan kerja empat hari ke negeri ini untuk meninjau aktiviti pembangunan usahawan dilaksanakan Mara Sarawak di Mukah, Sibu dan Kapit, berkata Mara juga melengkapkan usahawan di negeri ini dengan pengetahuan dan kemahiran memasarkan produk mereka melalui platrom  digital selain kaedah pemasaran sedia ada.

Di samping itu, agensi itu juga menggunakan khidmat daripada kalangan pemain industri sedia ada untuk menjadi mentor kepada usahawan baharu.

Sementara itu Zulfikri berkata Mara Sarawak menyediakan peruntukan pembiayaan perniagaan sebanyak RM38 juta pada tahun ini bagi membantu kira-kira 3,800 usahawan di negeri ini.

Sehingga bulan ini, Mara Daerah Sibu sudah meluluskan lebih RM2.3 juta pinjaman kepada usahawan-usahawan di daerah ini.