SIBU: Seramai 20 penghuni daripada tiga keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila kediaman mereka jadi abu dalam kejadian kebakaran membabitkan tiga rumah di Kampung Bahagia Jaya di sini, pagi tadi.

Pemangku Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Sibu Wan Kamaruddin Wan Ahmad yang mengesahkan kejadian itu berkata, setiba di lokasi kejadian bomba mendapati api sedang marak dan. memusnahkan ketiga-tiga rumah kayu itu.

“Semua mangsa kini meumpang di rumah saudara berdekatan sementara menunggu bantuan,” katanya dihubungi sebentar tadi.

Kamaruddin berkata, bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 02.51 pagi dan mengerahkan dua pasukan bomba dari BBP Sungai Merah dan BBP Sibu Sentral ke lokasi dengan kekuatan 16 anggota
bersama dua buah Fire Rescue Tender (FRT), sebuah Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dan sebuah kenderaan utiliti Hilux.

“Operasi tamat pada jam 3.20 pagi. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca serta kerugian masih dalam siasatan,”katanya.