KUCHING: Sebarang aduan mengenai Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak boleh dikemukakan terus kepada Kementerian Kerja Raya untuk tindakan selanjutnya, kata Menteri Kerja Raya Baru Bian.

Beliau berkata, buat masa ini Pan Borneo masih di bawah penyeliaan Rakan Pelaksana Projek (PDP) iaitu Lebuhraya Pan Borneo Utara (LBU).

“Ia adalah pembinaan yang berterusan, kita semua tahu bahawa ketika dalam pembinaan, pasti ada masalah.

“Saya menghargai apa-apa aduan dikemukakan terus ke padakementerian saya, saya akan mengarahkan pegawai saya untuk menghubungi LBU, itulah mekanisme yang kita ada sekarang,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, model baharu PDP akan diumumkan menjelang akhir bulan ini.