Nama Tanjung Datu sudah dikenali sejak abad ke-15 setelajh satu peta dibuat oleh Mao Kun yang memaparkan perjalanan Laksamana Cheng Cho pada 1421.

Peta tersebut menyebut nama Tanjung Datu. Dalam sejarah perjalanan Cheng Ho bukan sahaja ke Parsi, Arab dan Afrika Timur akan tetapi singgah di beberapa kepulauan seperti kepulauan Pescadores, dan Tanjung Datu di barat Borneo.

Ketika itu istilah Inggeris, Datu Cape belum lagi wujud atau dikenali kerana istilah tersebut terlalu baru hanya dikenali apabila Inggeris datang ke alam Nusantara.

Mengikut sumber Cina yang ditulis pada 1421 juga nama Tanjung Datu kekal, namun dalam catatan tersebut Tanjung Datu disebut sebagai Tan- jung-Tu dan Chi-lung-Hsu.

Tanjung Datu lebih dikenali dan sangat popular dalam kalangan ahli sejarah, geografi dan pencatat kembara kerana sejarahnya yang sangat panjang melebihi ratusan tahun.

Sedangkan nama Lundu yang terletak dalam penelitian setakat ini masih baharu berbanding populariti nama Tanjung Datu.

Orang Bidayuh mulai berhijrah dari Bau ke sekitar Sungai Batang Kayan. Kelompok ini dikenali sebagai Bidayuh Selako. Terdapat juga orang Iban dari Balau tinggal di sekitar Batang Lupar.

Perlombongan Emas

Apabila perlombongan emas mula berkembang, orang Cina juga berhijrah ke kawasan ini dengan galakan kolonial Brooke. Namun sudah ada orang Melayu yang tinggal di situ.

Sungai Batang Kayan pula mengambil nama kewujudan Suku Kayan juga pernah tinggal di kawasan ini.

Kayan bermusuhan dan diburu oleh Orang Skrang namun apabila tiba di Lundu, bermusuh pula dengan orang tempatan seperti Suku Undop dan Suku Sebuyau hingga menjadi perang saudara.

Dalam cerita rakyat tersebut, dikatakan penggunaan unsur magis menyebabkan aliran deras di sungai hingga menyebabkan ramai yang berperahu terbalik dan lemas, manakala suku Undop dan Sebuyau pula menyerang mereka yang terselamat di tepi-tepi sungai hingga digambarkan mayat bergelimpangan dan sungai dilimpahi darah mangsa yang terkorban.

Berdasarkan peristiwa ini, sungai tersebut dinamakan Sungai Batang Kayan bagi mengingati perang berdarah tersebut.

Melayu Tanjung Datu

Nama Lundu berasal daripada nama ikan kecil yang dikenali sebagai ikan Lundu yang terdapat di Sungai Batang Kayan. Ikan ini dikatakan banyak terdapat ketika bulan penuh dan mitos ini terus menjadi cerita rakyat tempatan.

Terdapat juga sumber tempatan menyatakan nama Lundu berasal daripada kelompok masyarakat yang dikenali sebagai Undu, namun apabila percampuran Melayu tempatan, Bidayuh dan Iban kelompok ini menjadi Melayu, Bidayuh atau Iban.

Undu sebenarnya ialah varisi kepada nama Undi atau Datu Undi atau dikenali sebagai sebagai Raja Jarom yang berasal dari Minangkabau, Sumatera.

Datu Undi atau Undu ini mempunyai tujuh orang anak. Anak-anaknya menjadi pemerintah di Saribas, Samarahan, Kalaka, Sadong. Anak-anak beliau sangat terkenal seperti Dato Terawoh di Kota Samarahan dan Datu Godam (Saribas) yang menggunakan gelaran abang.

Tiada Sempadan Politik

Etnik Melayu merupakan etnik yang luwes dan menerima pelbagai campuran etnik yang berteraskan agama Islam.

Kebanyakan etnik di Lundu berasal daripada Melayu Sambas dan Pontianak disebabkan pada zaman dahulu tidak ada sempadan politik.

Selepas kedatangan Belanda, Melayu Sambas menjadi penghijrah gelombang kedua ke Lundu apabila berkonflik dengan kolonial Belanda dan Kongsi Gelap Cina pada akhir abad ke-17.

Selain kelompok Melayu Sambas dan Pontianak, etnik Melayu Lundu juga dikaitkan dengan Melayu dari Kepulauan Natuna yang kini di bawah Kabupaten Natuna, Riau.

Menguasai Natuna

Asalnya, bangsawan Patani dan Johor mulai menguasai Natuna pada 1597 selepas kejatuhan ke- sultanan Melayu Melaka.

Patani dan Johor mula memperluas pengaruh mereka melalui perkahwinan campur.

Pulau Natuna mempunyai hubungan dengan pelbagai kepulauan dan kerajaaan termasuk di Tanjung Datu.

Jadi, hubungan perdagangan dan keagamaan membawa kepada aspek sosial seperti perkahwinan dan perhijrahan di Tanjung Datu.

Berdasarkan sumber lisan nelayan dari Natuna, Terengganu menganggap perairan Tanjung Datu, Kalaka hingga ke selatan Filipina laluan biasa perdagangan pada zaman dahulu.

Kenyataan ini dapat dikukuhkan kini dengan fakta peta laluan pada abad ke-15 berdasarkan sumber China klasik.

• Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah ahli akademik di Universiti Malaya, Kuala Lumpur.