DARO: Pembinaan titian dan jeti kampung untuk manfaat lebih 1,000 penduduk Kampung Tebaang di sini membuktikan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak mengabaikan rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.43 Daro, Safiee Ahmad berkata, projek titian sepanjang 45 meter dan jeti kampung termasuk pontoon terapung dijangka siap pada penghujung Ogos ini.

Menurutnya, Kerajaan Sarawak menyalurkan peruntukan sebanyak RM100,000 di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2019 bagi melaksanakan projek berkenaan.

“Projek diseliakan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Daro sebagai agensi teknikal. Apabila siap kelak, ia bukan sahaja memberi kemudahan kepada orang Kampung Tebaang tetapi juga penduduk di sekitar Daro untuk berulang-alik ke ladang di seberang kampung itu,” katanya kepada wartawan semalam.

Beliau berkata, Projek RTP yang dilaksanakan sejak 2015, merupakan hadiah paling berharga Kerajaan Sarawak yang manfaatnya dinikmati oleh rakyat khususnya penduduk pedalaman dan luar bandar hingga hari ini.

Katanya, perlaksanaan RTP kini diteruskan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg bagi kawasan diwakili wakil rakyat GPS.

Projek memberi manfaat kepada penduduk

“Kerajaan Sarawak sentiasa memahami denyut nadi rakyar luar bandar yang sentiasa memerlukan pembangunan sama.

“Justeru, sebagai wakil rakyat, saya akan terus giat merancang pembangunan di kawasan Daro supaya terus berkembang maju, sama seperti kawasan lain,” ujarnya.

Beliau menegaskan, pemimpin masyarakat termasuk ketua kampung perlu memberikan kerjasama dengan membantu melakukan pemantauan bagi memastikan projek yang dilaksanakan berjalan lancar.

“Pemimpin peringkat akar umbi berperanan sebagai mata dan telinga kerajaan. Apa-apa isu dan masalah di peringkat kampung perlu diselesaikan secara baik.

“Pada masa yang sama, penduduk juga perlu mempunyai semangat kekitaan bagi memastikan projek ini dijaga dan dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya,” ujarnya.

Titian dan jeti dibina bagi kemudahan penduduk