SIBU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sibu berjaya menyita tiga kenderaan klon di bandar ini melalui operasi-operasi harian dan operasi khas kenderaan klon sejak tahun lepas.

Ketuanya Mohd Faizal David Jemat berkata sebuah kereta model Nissan Fairlady disita tahun lepas, manakala sebuah Toyota Camry beberapa bulan lepas, dan yang terbaharu sebuah Toyota Alphard disita awal bulan ini.

Beliau berkata semakan rekod dalam sistem JPJ mendapati kenderaan-kenderaan itu dibawa masuk dari negara jiran menggunakan plat nombor kenderaan lain, iaitu nombor pendaftaran Semenanjung dan tidak pernah didaftarkan untuk digunakan di Sarawak.

“Kita telah soal siasat pemilik-pemilik kenderaan itu dan mereka mengaku membeli dengan harga jauh lebih murah daripada harga pasaran,” katanya dalam kenyataan semalam,

Beliau berkata kes Nissan Fairlady telah didakwa ke mahkamah dan pemiliknya sudah dijatuhkan denda manakala dua lagi pemilik akan dihadapkan ke mahkamah apabila siasatan selesai dan mendapat kebenaran daripada pihak Timbalan Pendakwa Raya.

Mohd Faizal berkata kes-kes itu akan didakwa di bawah Seksyen 7 (menggunakan kenderaan tidak didaftar) yang boleh membawa hukuman denda maksimum RM10,000 dan Seksyen 108 (mempamerkan nombor pendaftaran dan lesen kenderaan motor kenderaan lain) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang boleh membawa hukuman denda maksimum RM20,000 jika sabit kesalahan.

JPJ akan memohon kepada mahkamah supaya kenderaan tersebut dilucut hak.

“Kita akan terus berusaha untuk mengesan kenderaan-kenderaan klon di bandar ini. Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi kita di JPJ Sibu supaya tindakan lanjut boleh diambil,” tegasnya.

Sementara itu, jumlah kes mempamerkan plat nombor pendaftaran tidak mengikut spesikasi yang boleh dikompaun maksimum RM300 bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini ialah 322 kes manakala kes kesalahan cermin gelap pula ialah 120 kes.