Mati tertembak diri sendiri

KOTA SAMARAHAN: Seorang lelaki mati tertembak diri sendiri ketika memburu di kawasan Batu Belat, Sungai Muara Tuang di sini.

Mangsa, 45, yang merupakan seorang nelayan dari Kampung Temedak Lorong 10, Kota Sentosa mati akibat cedera parah di kepala terkena peluru senapang buatan sendiri.

Ketua Polis Daerah Samarahan, Deputi Superintendan Lee Chong Chern berkata mangsa telah pergi berburu bersama seorang rakannya, 57, dari Kampung Sungai Tapah, Jalan Lapangan Terbang sekitar jam 1.30 petang semalam.

Katanya mangsa yang membawa senapang buatan sendiri telah memanjat naik ke tempat yang disediakan khas di atas pokok untuk menunggu binatang manakala rakannya yang tidak bersenjata, menunggu di dalam perahu pada jarak kira-kira setengah kilometer.

“Pada lebih kurang jam 12 malam, rakan mangsa telah terdengar bunyi tembakan dari arah mangsa dan terus naik ke darat untuk melihat apa yang ditembak oleh mangsa.

“Apabila sampai, dia mendapati mangsa terlentang di atas tanah dengan kesan tembakan di muka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Lee menambah rakan mangsa terbabit kemudian menghubungi saudara mangsa untuk bantuan, dan sejurus selepas itu abang mangsa yang turut datang ke tempat kejadian kemudian membawa mayat mangsa pulang lalu dimandikan dan ditukar pakaian.

Justeru, beliau berkata hasil siasatan setakat ini mendapati tiada unsur jenayah di mana mangsa dipercayai terjatuh dari tempat menunggu di atas pokok menyebabkan senapangnya meletup tertembak diri sendiri.

Katanya kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Manakala senapang patah buatan sendiri milik mangsa bersama satu kelongsong peluru jenis GB Club 12 bore jenis penabur telah dirampas dan akan dilupuskan mengikut Seksyen 53 Akta Senjata Api 1960.

 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak