KUCHING: Kesukaran seorang wanita warga emas untuk bergerak kini diringankan apabila menerima kerusi roda yang disumbangkan oleh Biro Sosial dan Kebajikan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kampung Paya Mebi.

Bantuan kepada S’mah Karim, 83, dari Kampung Paya Mebi yang menghadapi masalah untuk bangun dan berjalan disebabkan keuzuran, diserahkan oleh Setiausaha PBB Cawangan Batu Kitang Shamsudin Unai, semalam.

Pemberian kerusi roda itu merupakan program Bantuan Kasih anjuran Biro Sosial dan Kebajikan PBB Kampung Paya Mebi bersempena sambulan Aidiladha tahun ini.

Turut diadakan penyampaian sumbangan wang tunai kepada warga emas kurang upaya dan uzur.

Menurut Shamsudin, bantuan amal itu adalah untuk memupuk sifat toleransi, kasih sayang serta semangat perpaduan dalam masyarakat yang berbilang kaum di Sarawak.

“Ini adalah program berterusan Biro Sosial dan Kebajikan PBB Kampung Paya Mebi dan kami berharap lebih ramai pihak tampil menghulurkan bantuan bagi meringankan beban golongan memerlukan,” katanya ketika ditemu-bual.

Program Bantuan Kasih Biro Sosial dan Kebajikan PBB Kampung Paya Mebi bermula sejak tahun 2003 dan pelbagai bantuan telah disampaikan kepada golongan memerlukan seperti kerusi roda, persekolahan, makanan dan banyak lagi.

Shamsudin (dua kanan) menyerahkan kerusi roda kepada S’mah di rumahnya, Kampung Paya Mebi, dekat sini semalam. Turut kelihatan ahli keluarga S’mah.