BINTULU: Sasaran 500 peserta membabitkan penjawat awam, badan berkanun, syarikat berkepentingan kerajaan, ketua masyarakat dan kaum, pertubuhan bukan kerajaan, komuniti setempat termasuk mahasiswa bakal menyertai Similajau National Park Integrity Walk pada 24 Ogos ini bertempat di Taman Negara Similajau, di sini.

Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Haji Talib Zulpilip dijangka menyempurnakan program anjuran Unit Integriti dan Ombudsman Negeri, Jabatan Ketua Menteri dengan kerjasama Sarawak Forestry Corporation(SFC), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) dan Pejabat Residen dan Daerah Bintulu ini.

Dijangka sejumlah 250 peserta akan mengambil bahagian dalam aktiviti Beach Walk & Plogging, 70 peserta bagi aktiviti Leisure(View Point) Walk manakala 30 peserta lagi dijangka menyertai aktiviti Extreme Walk.

Aktiviti sampingan lain termasuklah menanam pokok membabitkan 100 pelajar universiti dan institusi pengajian awam dan swasta tempatan, peraduan mewarna untuk kanak- kanak tadika dan tabika serta pameran daripada UNION, SPRM dan SFC.

Penganjuran program Similajau National Park Integrity Walk antara lain bertujuan mewujudkan kesedaran kepada semua lapisan masyarakat tentang kepentingan memelihara alam semulajadi dan mengamalkan gaya hidup sihat dengan melakukan senaman dan aktiviti berjalan.

Di samping itu, ia juga bertujuan bagi memupuk budaya integriti dan mengukuhkan asas moral di kalangan masyarakat dalam semua aspek kehidupan serta memperlihatkan kesungguhan dan komitmen Kerajaan dalam melahirkan masyarakat maju berintegriti.