BINTULU: Empat lelaki berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau sebatan jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 395/ 397 Kanun Keseksaan atas pertuduhan melakukan samun berkumpulan dengan bersenjatakan parang terhadap dua wanita tempatan pada lewat tengah malam Rabu lalu.

Keempat- empat saspek tempatan berumur antara 19 hingga 32 tahun itu ditahan di tempat berasingan sekitar bandar Bintulu dalam Operasi Cantas diketuai Inspektor Nixon Anak Malang dari Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Bintulu pada Khamis setelah menerima laporan daripada mangsa pada malam kejadian.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zulkipli Suhaili dalam kenyataannya berkata keempat- empat saspek ditahan bagi membantu siasatan polis.

Pihak polis, katanya, turut merampas dua bilah parang yang dipercayai digunakan semasa melakukan rompakan serta empat unit telefon bimbit pelbagai jenama dipercayai hasil rompakan daripada saspek.

Dalam kejadian 12.30 tengah malam Rabu lalu, dua wanita tempatan kerugian hampir RM1,000 selepas disamun dua lelaki yang bersenjatakan parang ketika melalui hadapan sebuah pasar mini di Jalan Tun Hussein Onn, di sini.

Ketika melintasi hadapan pasar mini tersebut, mangsa telah didatangi dua lelaki tempatan sambil mengacukan parang ke arah mangsa sekali gus meminta mangsa menyerahkan telefon bimbit.

Mangsa yang ketakutan, bertindak menyerahkan dua unit telefon bimbit kepada saspek yang kemudiannya melarikan diri dengan hasil samun tersebut.

RAMPAS…empat unit telefon bimbit pelbagai jenama dan dua bilah parang dirampas daripada saspek dalam Operasi Cantas.