DARO: Dua lagi projek akan dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak untuk rakyat di Pulau Bruit.

Projek tersebut ialah bina baru Jambatan Dalam Kampung Penipah dibina dengan kos RM223,000 menggunakan dana di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) Ahli Parlimen Tanjung Manis, Yusuf Abd Wahab.

Manakala bina baru Jambatan Jalan Bendahara Kampung Tekajong dibina dengan kos RM167,000 daripada dana RTP Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.42 Semop, Abdullah Saidol.

Upacara penyerahan ringkas projek disaksikan Abdullah yang juga Menteri Muda Hal Ehwal Korporat, pada Rabu lalu.

Dalam pada itu, Penolong Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Daro, Sukri Mohd Jamaludin menyerahkan dokumen projek kepada kontraktor di Penipah, Annuar Yusuf daripada Syarikat An Nur Pemborong Bumiputera manakala, dokumen projek di Tekajong diserahkan kepada Haili Morni (Elli Enterprise).

Majlis turut dihadiri Pegawai Tadbir Sarawak, Pejabat Daerah Daro, Yusuf Hossen.

Dalam siri lawatan kerjanya, Abdullah turut singgah di masjid Kampung Semop untuk menyampaikan sumbangan dana berjumlah RM17, 209 kepada tujuh organisasi.

Organisasi itu ialah Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan ( SK ) Semop (RM3,000); Tabung Kelab Polis Matu – Daro (RM3,000); Surau Darul Mukmin Ibu Pejabat Polis (IPD) Matu- Daro (RM3,000); Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan (JKKK) Kampung Serdeng (RM1,500); PIBG SK Bakerkong (RM2,500); Pasukan Bola Sepak Kampung Kut, Saai dan Semop (RM2,376) dan Masjid al-Amin Kampung Semop (RM1,833).

Abdullah menyaksikan penyerahan projek kepada Annuar Yusuf daripada Syarikat An Nur Pemborong Bumiputera.

 

Sukri Mohd Jamaludin menyerahkan dokumen projek kepada Haili Morni (Elli Enterprise) sambil disaksikan Abdullah.