BINTULU: Seorang lelaki dipercayai kurang siuman ditemukan terbaring dan tidak sedarkan diri di kawasan lopak air berhampiran  kediaman pekerja di bangunan Paragon Bintulu berhadapan Pasar Ikan Sebiew, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.53 petang Jumaat, Cheng Sing Foo, 66,ditemui orang awam
yang berada di lokasi kejadian sebelum menghubungi pihak polis.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zulkipli Suhaili berkata setibanya di lokasi dimaklumkan, pihak polis melihat memang terdapat seorang lelaki terbaring dan tidak sedarkan diri dan terus menghubungi ambulan.

Beliau  berkata, temubual dengan adik mangsa, memaklumkan abangnya (si mati) menghidap penyakit mental dan sering keluar dari rumah pekerja untuk berjalan-jalan.

Berdasarkan keterangan saksi di tempat kejadian, katanya, memaklumkan bahawa mangsa dilihat berada di kawasan lopak air berkenaan untuk mandi.

Mangsa, berkemungkinan terjatuh ke dalam lopak air tersebut dengan muka dan kepala tenggelam, ujarnya.

Pihak ambulan tiba di tempat kejadian dan telah mengeluarkan mangsa dari lopak air dan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

Mayat mangsa dirujuk  ke Hospital Bintulu untuk tindakan lanjut.

Kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” kata Zulkipli lagi.