BETONG: Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sarawak mengaktifkan semua 16 Pusat Tenaga Kerja (PTK) di seluruh negeri ini bagi mencapai sasaran 11,000 pencari kerja dapat ditawarkan dengan pekerjaan masing-masing seterusnya ditempatkan menjelang hujung tahun ini.

Pengarahnya Awang Raduan Awang Omar memberitahu, pada 2018 JTK Sarawak merekodkan 13,595 pencari kerja berjaya ditempatkan dengan pekerjaan masing-masing.

Katanya, jumlah tersebut jauh melepasi sasaran iaitu 10,000 orang.

“Justeru, pada tahun ini kita menyasarkan 11,000 pencari kerja dapat ditawarkan dengan pekerjaan sekali gus ditempatkan.

“Sehingga bulan ini, kita berjaya menempatkan 3,662 pencari kerja. Bagaimanapun, berdasarkan data tersebut jumlahnya agak kurang.

“Oleh yang demikian, JTK Sarawak akan mengaktifkan semua 16 PTK di setiap Daerah untuk mengadakan karnival mini yang menumpukan kepada temu duga terbuka untuk membantu pencari kerja mendapat pekerjaan seterusnya mencapai sasaran yang ditetapkan,” katanya.

Beliau bercakap demikian ketika ditemui Suara Sarawak selepas meninjau sekitar Karnival Kerjaya Bahagian Betong bersempena Program Jelajah Kerjaya Kenyalang 3.0 JTK Sarawak yang berlangsung di Dewan Panglima Rentap, semalam.

Pihaknya akan melibatkan syarikat-syarikat untuk mengambil pekerja tempatan dan ini juga merupakan salah satu usaha mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja luar.

“Sebab itu, walaupun kita hanya mencapai 7,000 hingga 8,000 pencari kerja untuk ditempatkan, itu sudah cukup baik.

“Saya amat berpuas hati dengan usaha dan komitmen JTK Sarawak serta syarikat yang terlibat.

Jangan terlalu pilih kerja

“Insya-Allah kami akan membantu secara berterusan. Cuma saya menggesa agar setiap pencari kerja jangan terlalu memilih pekerjaan… kalau ada peluang, sila datang dan cuba nasib.

“Apa guna duduk di rumah tanpa apa-apa pendapatan. Saya yakin kalau bekerja, sekurang-kurangnya dapat juga gaji RM1,100 serta pengalaman yang mungkin berguna di kemudian hari,” jelasnya.

Raduan menambah Karnival Kerjaya Bahagian Betong kali ini merupakan siri kelapan selepas Mukah, Lawas, Kuching, Bintulu, UTC Kuching, Siniawan dan Kota Samarahan yang melibatkan 18 majikan dengan menawarkan 1,405 kekosongan jawatan dalam pelbagai peringkat, sektor dan industri.

Ia bagi membantu pencari kerja mendapatkan pekerjaan mengikut kelayakan masing-masing selain menjadi platform kepada para majikan di sektor swasta untuk mencari calon pekerja yang berpotensi.

Salah seorang pencari kerja dari Kampung Pusa Mohd. Iman Roslan, 23 mengakui cabaran mendapatkan pekerjaan hari ini cukup hebat.

Bagaimanapun katanya anak muda tidak harus berputus asa.

“Ini lubuk kerja paling mudah, JTK Sarawak membawa banyak agensi dengan menawarkan pelbagai peluang pekerjaan.

“Walaupun begitu saya nampak mereka yang datang berlipat kali ganda daripada jumlah kekosongan yang ditawarkan. Maksudnya, kita harus menyiapkan diri sebaiknya agar dapat bersaing. Insya- Allah ada rezeki,” katanya.

Sementara itu anak muda dari Ulu Rimbas Anne Casarinna Alon, 21 juga mengharapkan majikan yang hadir dapat melihat kesungguhan pencari kerja yang datang dari jauh.

“Saya percaya ada yang datang dari hulu dan kawasan-kawasan lain yang agak jauh semata-mata untuk mendapatkan pekerjaan.

“Satu yang menariknya karnival ini pencari kerja diberikan panduan atau dibimbing dan ia telah memudahkan proses temu duga… cuma selepas itu terserah pada rezeki.

“Terima kasih kepada JTK Sarawak yang sanggup turun padang untuk membantu pencari kerja yang masih ramai menunggu,” tambahnya. Hadir sama Pegawai Daerah Betong Sofhi Jebal.