Sebelum menjadi Raja Putih, James Brooke sudah melawat Daerah Lundu. Perjalanan tersebut dinoktahkan pada 31 Ogos 1839, iaitu kira-kira 180 tahun lalu. Sudah tentu terdapat punca kedatangan Brooke ke tempat yang dianggap eksotik tersebut.

Sebagai pengembara Brooke amat gembira dengan aliran anak sungai Lundu, Tuda dan Serikin yang air mengalir keluar ke Laut China Selatan.

Di bahagian kekuasaan Belanda ketika itu sungai yang mengalir di Sambas, Landak dan Sparan juga merupakan jalan utama pengangkutan ketika itu.

Tidak lama kemudian Sultan Brunei menyerahkan Daerah Lundu menjadi Bahagian kepada Sarawak kemudian dijajah Brooke pada 1841.

Selepas itu, Society for The Propagation of Gospel (SPPG) juga menubuhkan pusat mubaligh yang berpusat di Stunggang.

Lundu merupakan kawasan strategik suatu kawasan di kawasan perairan Tanjung Datu yang dikenali sejak berabad-abad dalam sejarah termasuk dalam sejarah Majapahit, China dan Srivijaya.

Inilah disedari oleh kolonial Inggeris ini apabila Lundu kemudian dijadikan kubu pertahanan yang pertama.

Pejabat Jajahan Inggeris

Tentera kolonial Inggeris ditempatkan di stesen Lundu ketika dalam tahun pertama bertugas sebelum di hantar di mana-mana tempat menurut pejabat jajahan Inggeris.

Lundu merupakan antara kawasan yang terawal dasar agroekonomi diperkenalkan, ketika itu, Lundu sudah lama menjadi kawasan di bawah Bahagian Pertama.

Sebagai kawasan yang antara terawal, tanaman utama dipergiatkan ialah lada, kopi, gambir dan kelapa. Kesannya, Lundu menjadi kawasan yang cepat berkembang maju daripada hasil sara diri kepada berorientasi hasil tanaman untuk eksport.

Eksport utama ini didagangkan di Singapura apabila perkembangan Singapura pada abad ke-18 dan dijadikan pusat utama kolonial Inggeris.

Brunei, Belanda di kawasan Kalimantan dan Tanjung Datu ialah pusat utama Borneo-Kalimantan. Maka, lebih mudah melakukan perdagangan dari Lundu Tanjung Datu ke Singapura.

Perkembangan semakin pusat apabila Terusan Suez dan laluan ini semakin dekat ke Singapura dan merancakkan perdagangan Singapura.

Bermigrasi Dan Melabur

Ketika pemerintahan Charles Brooke, dasar membawa tauke Cina dari Singapura untuk datang bermigrasi dan melabur dalam pertanian di Lundu khususnya dalam penanaman gambir dan lada.

Pemerintah kolonial ini menggunakan Kapal Loyalist untuk membawa tauke datang ke Lundu dan dihantar kembali.

Syarikat baru dibuka oleh tauke ini dan pedagang Sarawak akan turut serta dalam pelaburan ini.

Dalam catatan St John, sebanyak 200 etnik Cina yang bermigrasi menanam pelbagai jenis tanaman termasuk kacang dan ubi kayu. Namun, tidak dieksport sebaliknya untuk memenuhi keperluan tempatan.

Lama-kelamaan barulah dieksport, namun tanaman gambir dan lada paling berjaya. Menurut laporan Sarawak Gazzete apabila dasar berjaya, barulah Charles Brooke cuba memperkenal tanaman tersebut dan tanaman lain kepada orang Melayu dan Dayak pula.

Masalah Modal

Namun penguasaan ekonomi orang Cina dalam tanaman besar-besaran dan maju ini sukar disaingi oleh Melayu dan Dayak kerana mempunyai masalah modal dan tanpa didukung oleh pemerintah sebagaimana dilakukan oleh Charles Brooke terhadap galakan migrasi etnik Cina ke Lundu malah ke bahagian lain seperti Sibu dengan pelbagai inisiatif diberikan.

Apabila perkembangan sistem pertanian di Lundu secara besar-besaran semakin berkembang, perebutan isu tanah mula berlaku.

Ini dicatatkan oleh Sarawal Gazzette (1 Julai 1877). Perebutan tanah di antara pekebun Cina dan Sarawak semakin meningkat sejajar dengan peningkatan tanaman lada. Ini kembali kepada isu undang-undang adat, bidang tanaman yang dipersetujui yang mengelirukan kedua-dua pihak.

Perluasan tanah untuk tanaman sama ada memerlukan kelulusan pihak berkuasa, tetapi tidak diendahkan oleh pihak penanam mendatangkan masalah kemudin hari.

Kebenaran Kerajaan

Sebab itu, deklarasi dibuat pihak Kerajaan Brooke tidak bertanggungjawab apa-apa masalah berbangkit sekiranya berlakunya pertikaian berkaitan hak tanah lebih-lebih lagi pengambilan tanah tersebut tidak mendapat kebenaran kerajaan, dan pihak pemerintah berkuasa untuk merampas atau mengambil tanah yang tidak didaftarkan atau tidak mendapat kebenaran oleh kerajaan.

Ini merujuk kepada tanah di sekitar Sungai Lundu dan Gunung Gading.

Hal ini berlaku juga kepada tanah Melayu di Sompa dan Rambungan. Pada awalnya tanah diberikan oleh perintah untuk menanam kelapa akan tetapi sebaliknya berlaku apabila tanaman tembikai lebih disukai penduduk tempatan.

Arahan daripada Pejabat Daerah ialah apabila tidak dilaksanakan dalam tempoh enam bulan, maka tanah diserahkan kepada pihak lain sedangkan pada satu sisi yang lain tanah ini merupakan tanah simpanan Melayu.

Sejarah sosioekonomi Lundu pada 1840-an hingga 1880-an ini perlu dilihat sebagai kesinambungan sejarah sosioekonomi masyarakat era dahulu dan kaitan dengan situasi sosioekonomi Lundu era moden.

• Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga kolumnis di Sin Chew Daily dan Malaysian Insight.

Foto Utama Kredit: Greek Love Through the Ages