BINTULU: Sukan adalah wadah terbaik yang boleh digunakan untuk memupuk nilai positif dan perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum termasuk ahli wanita Parti Rakyat Sarawak (PRS).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju, Majang Renggi berkata aktiviti sukan bukan sahaja mampu memupuk dan menyemai semangat pemuafakatan di kalangan peserta dan pihak penganjur, tetapi juga kepada masyarakat setempat.

Dengan menyertai aktiviti sebegini, ia juga berupaya memupuk semangat muhibbah,toleransi,kesefahaman serta membantu pembentukan moral dan fizikal yang berkualiti di kalangan peserta, katanya ketika berucap merasmikan pertandingan Futsal Wanita PRS 2019 Piala Pusingan Dato’ Sri Doris Sophia Brodie, Ketua Wanita PRS di Gelanggang Futsal Kelab Kidurong, di sini.

Sebanyak 19 pasukan iaitu Wanita Exco Pusat A, Wanita Exco Pusat B, N.30 Balai Ringin, N.31 Bukit Begunan, N.32 Simanggang, N.34 Batang Ai, N.49 Ngemah, N.59 Tamin, N.60 Kakus, N.61 Pelagus, N.64 Baleh, N.65 Belaga, N.66 Murum A, N.66 Murum B, N.69 Kemena, N.70 Samalaju, N.75 Senadin, N.79 Bukit Kota dan N.80 Batu Danau bersaing merebut kejuaraan yang menawarkan pelbagai hadiah lumayan.

Beliau berharap kesemua pemain dapat menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi yang sedikit sebanyak dapat diterjemahkan ke arah usaha mendekati masyarakat khususnya di peringkat akar umbi di samping dapat mencungkil bakat terpendam ahli wanita PRS dalam sukan futsal.

ADUN Murum, Kennedy Chukpai Ugon dan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri merangkap Ketua Wanita PRS Datuk Sri Doris Sophia Brodie hadir sama.

Sementara itu, Timbalan Ketuan Menteri merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan yang juga presiden PRS Tan Sri Datuk Amar Dr. James Jemut Masing dijangka menyempurnakan acara penutupan dan penyampaian hadiah pada keesokan petang (Sabtu).