KUCHING: “Kami anggota tentera tidak menerima permohonan maaf daripada ahli perniagaan, Koon Yew Yin atas kenyataan yang telah dibuat terhadap anggota tentera.”

Demikian tegas, Presiden Persatuan Veteran Tentera Kor Renjar (PVTKR), Lt. Kol. Mohd Melintang Abdullah, walaupun Koon Yew Yin telah memohon maaf.

Kenyataan Koon Yew Yin ialah anggota tentera tidak berbuat apa-apa sebaliknya hanya makan dan tidur merupakan satu penghinaan kerterlaluan kepada pihak anggota tentera.

Menurut Mohd Melintang Abdullah, walaupun Koon Yew Yin telah memohon maaf atas kenyataan tersebut, namun pihak anggota tentera masih amat kecewa.

“Apakah tujuan Koon Yew Yin mengeluarkan kenyataan tersebut kemudian memohon maaf atas kenyataan yang telah dilakukan?

“Kenyataan tersebut telah menghina pihak anggota tentera. Seharusnya Koon lebih mengetahui kerana dia merupakan orang yang berpengetahuan dan berpendidikan,” tegasnya.

“Malah dia sepatutnya bersyukur terhadap perkhidmatan yang diberikan oleh tentera kerana tanpa pengorbanan pihak tentera, negara tidak akan memperoleh keamanan seperti sekarang,” jelasnya setelah membuat laporan polis terhadap kenyataan Koon Yew Yin di Balai Polis Sungai Maong, semalam.

Menurut Mohd Melintang, ahli PVTKR banyak berkorban demi keselamatan dan keamanan Negara. Malah PVTKR mempunyai paling ramai ahli dianugerahkan Pingat Keberanian.

“Cadangan dan kenyataan Koon Yew Yin adalah tidak masuk akal dan menunjukkan bahawa dia tidak mempunyai pengetahuan asas terhadap peranan anggota tentera.

“Walaupun selepas 1989, peperangan menentang komunis telah berakhir dan kita berada dalam negara yang aman, namun, ramai anggota tentera masih lagi berkhidmat dalam misi pendamaian di seluruh dunia.

“Pihak kami masih bertugas untuk membantu membuat rondaan maritim dan terlibat dalam menjaga sempadan negara kita.

“Ini merupakan misi dan tugas anggota tentera sehingga mereka sanggup merisikokan nyawa dalam keadaan bahaya dan berkorban demi menjaga keamanan negara dan serantau,” jelasnya.

Tambah Mohd Melintang, walaupun negara sekarang dalam keadaan aman, tidak bermakna anggota tentera tidak melakukan apa-apa pekerjaan seperti yang dinyatakan oleh Koon Yew Yin.