MIRI: Pengagihan topeng muka ke sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) berhampiran di kawasan terjejas akibat kebakaran di Kuala Baram bermula semalam.

Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Lee Kim Shin kerkata, pengagihan tersebut dilakukan di beberapa buah sekolah dan IPT di Kuala Baram, Senadin, Tudan dan Permyjaya di sini.

“Sebenarnya, kami sudah menghantar topeng muka kepada beberapa sekolah, hanya menunggu masa untuk diagihkan kepada pelajar.

“Secara kasar, bekalan topeng muka dianggarkan sebanyak 20,000 lebih, jadi ia sepatutnya mencukupi,” jelasnya.
Katanya, di samping itu, pihak Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Miri akan berterusan memantau keadaan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penutupan Sarawak Bon Fest anjuran Sekolah Menengah Sains Miri di Coco Cabana selama dua hari bermula 17 hingga 18 Ogos di sini, semalam.

Ia merupakan tahun kedua diadakan selepas kejayaan penganjuran pertama pada tahun lalu di Eastwood Valley Golf and Country Club.

Pengunjung diperkenal dengan budaya masyarakat Jepun menerusi aktiviti pameran, bengkel dan pertandingan.

Antara pertandingan ialah layang-layang yang memberi peluang kepada pengunjung untuk melihat permainan layang-layang tradisional Jepun yang dikenali sebagai wadako.

Seramai 152 peserta daripada lapan sekolah iaitu tiga sekolah masing-masing dari Sarawak dan Sabah, manakala dua buah lagi dari Pahang dan Putrajaya.