DARO: Mangsa ribut di Sungai Serban, Nanga Lassa di sini lega apabila kediaman mereka yang musnah akibat ribut petang Jumaat lalu, sudah dibaiki.

Lima sekeluarga yang mendiami rumah terbabit, menerima bantuan segera berupa bahan binaan daripada ADUN N.43 Daro Safiee Ahmad melalui wakilnya sejurus beliau menerima maklumat mengenai kejadian berkenaan.

Menurut Safiee, kerja membaikpulih kediaman mangsa dilakukan secara gotong royong melibatkan penyertaan penduduk setempat.

“Alhamdullilah. Kerja- kerja membaiki rumah yang rosak terkena ribut di Sungai Serban telah siap dilaksanakan,” katanya kepada wartawan.

Kejadian kira-kira 6.00 petang itu menerbangkan bumbung rumah mangsa dan ketika itu, kesemua mereka sedang berehat di ruang tamu rumah berkenaan.

Ia merupakan kejadian pertama menimpa lima sekeluarga itu sepanjang mendiami rumah terbabit sejak beberapa tahun lalu.

Bagaimanapun, beberapa rumah panjang yang terletak berhampiran kediaman mangsa terselamat dan tidak mengalami sebarang kerosakan.

“Sebaik menerima berita itu, saya terus menghantar wakil untuk melawat dan seterusnya menghulurkan bantuan segera bagi membaiki rumah tersebut.

“Saya simpati dengan nasib Pater Jugah, 38, serta keluarganya di samping berharap bantuan yang dihulurkan itu meringankan beban beliau dan keluarganya,” ujarnya.

Penduduk bergotong royong membaiki kediaman mangsa.

 

Kesemua mangsa terselamat dalam kejadian kira-kira 6.00 petang itu.

 

Bumbung rumah mangsa selesai dibaikpulih.