KUCHING: Dua jurujual sebuah kedai di sini, ditahan kerana disyaki mengedar pil nospan secara haram untuk tujuan penagihan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak, Superintendan Hasnir Abdul Hamid berkata mereka ditahan dalam serbuan ke atas sebuah kedai tidak bernombor di Lorong Cathay, Jalan Khoo Hun Yeang di sini sekitar jam 1.20 petang semalam.

“Pasukan serbuan daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kuching telah menahan dua orang lelaki di kaunter kedai berkenaan.

“Hasil pemeriksaan di dalam kedai menjumpai 20 paket plastik berisi 320 biji pil nospan yang dianggarkan bernilai RM200,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hasnir berkata lelaki berusia 39 dan 34 tahun itu yang sudah berkahwin, masing-masing beralamat di Taman Peony, Jln Matang Batu 4 1/2 dan Kampung Temadak, Jalan Matang ditahan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Katanya saringan awal air kencing terhadap kedua-dua suspek yang tidak memiliki rekod jenayah lampau didapati negatif dadah.

“Mereka ditahan di lokap Balai Polis Sentral, Kuching untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.

Beliau menambah kedua-dua suspek kini dalam proses permohonan reman dan kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Katanya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya.

Pil nospan yang dirampas dari sebuah kedai di sini, semalam.