KUCHING: Bagasi hilang selama dua minggu ketika menggunakan pesawat Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) menyebabkan Munah Lukong, 32, amat kesal.

Lebih malang apabila tiada sebarang bantuan dihulurkan oleh pihak MAS apabila beliau menggunakan penerbangan berkenaan dari Singapura ke Kuala Lumpur dan terus Kuantan untuk bercuti.

“Terdahulu, saya bersama suami dan seorang anak perempuan, tujuh tahun mengambil penerbangan menggunakan penerbangan Lufhansa dari Venice ke Frankfurt terus Singapura.

“Bagaimanapun, ketika tiba di Kuantan, dua bagasi kami didapati hilang sehingga menyebabkan kami sekeluarga “sehelai sepinggang”,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak di sini, hari ini.

Berikutan itu, tambah Munah yang berasal dari Kuching, suaminya, Christian Herold, 37, menghubungi pihak MAS pada 7 Ogos.

KECEWA … Munah (kanan) bersama suaminya, Christian melahirkan rasa kecewa dengan pihak MAS ekoran kehilangan satu bagasi mereka di Kuching hari ini.

Sebelum itu, ketika di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Munah ada bertanya kepada kaunter khidmat pelanggan MAS bagi memastikan dua bagasi mereka sekeluarga selamat ke destinasi terakhir (Kuantan).

“Pihak MAS memberitahu saya yang dua bagasi kami sekeluarga ada dalam sistem penerbangan ke Kuantan, MH1268.

“Bagaimanapun, setiba di Kuantan, kedua-dua bagasi kami tidak bersama,” jelasnya.

Berikutan itu, beliau dan suami diarahkan untuk membuat laporan.

“Dua hari kemudian, salah satu bagasi iaitu barangan suami dan anak saya dijumpai.

“Namun, bagasi yang mengandungi barangan saya termasuk persiapan untuk menyertai acara marathon Kuching (18 Ogos) hilang bermula 9 Ogos lalu,” jelasnya.

Lebih mengecewakan Munah apabila pihak pengurusan MAS seolah-olah enggan bertanggungjawab apabila panggilan dibuat oleh suaminya seperti “bola pingpong”.

“Malah, suami saya turut menghantar emel aduan kepada pihak MAS sehingga Isnin lalu, namun, emel terakhir yang diterima daripada MAS ialah 10 Ogos lalu.

“Saya amat kesal dengan cara berurusan dengan kami sekeluarga apabila tiada sebarang kemaskini jika kami tidak bersungguh-sungguh bertanya,” ujarnya.

Kata Munah lagi, suaminya turut menghubungi pengurusan Lufhansa apabila syarikat itu memberitahu, penerbangan terakhir sepatutnya bertanggungjawab.

HILANG … Bagasi ditandakan milik Munah hilang.