SERIAN: Empat individu ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di sini.

Dua daripada mereka ditahan ketika diperiksa oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Daerah Serian di tepi jalan Batu 51, Jalan Serian/Sri Aman sekitar jam 10.30 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Superintendan Aswandy Anis berkata hasil pemeriksaan menjumpai dadah jenis syabu seberat 13 gram di dalam poket salah seorang suspek.

Manakala, katanya dua lagi suspek ditahan sekitar jam 4.40 petang di kawasan tempat letak kereta Hospital Serian.

Beliau berkata pemeriksaan menjumpai dadah jenis syabu seberat 1.55 gram di dalam poket seluar salah seorang suspek.

“Kesemua dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM200 adalah untuk diedarkan kepada penagih-penagih di sekitar Serian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Aswandy berkata kesemua suspek telah dibawa ke pejabat BSJN, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian untuk tindakan lanjut dan saringan air kencing juga mendapati mereka positif syabu.

Katanya kesemua suspek direman selama 4 hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Dadah yang dirampas dari kesemua suspek.

Dadah yang dirampas dari kesemua suspek.