DARO: “Ketua-ketua masyarakat berperanan penting dalam memantau serta menyelaras aktiviti pembakaran bagi tujuan pertanian di setiap kawasan mereka,” jelas Adun Daro Safiee Ahmad.

Katanya alam sekitar yang tidak sihat misalnya melalui jerebu hasil dari pembakaran terbuka dan pencemaran lain mampu memberi kesan langsung kepada kesihatan masyarakat.

“Semua pihak harus mempunyai kefahaman yang tinggi tentang pentingnya bersama-sama menjaga alam sekitar sepertimana kita melihat kesan aktiviti pembakaran terbuka yang telah dilakukan sebelum ini,” katanya berucap dalam Majlis Perasmian Program Kempen Kesedaran Alam Sekitar berkenaan Jerebu dan Larangan Pembakaran Terbuka Daerah Daro di Dewan Kemas Daro hari ini.

Sehubungan itu, katanya menerusi program berkenaan, ia berperanan penting memberikan kesedaran betapa pentingnya menjaga kesegaran alam sekitar.

“Sebagaimana juga kita perlu menitikberatkan kebersihan alam sekitar yang sihat untuk kepentingan semua,” tegasnya.

Menerusi program berkenaan juga katanya diharap masyarakat lebih bersedia dan mengetahui tentang kawalan penjagaan alam sekitar khasnya melalui aktiviti pembakaran yang dilakukan.

Dalam majlis tersebut tiga siri taklimat telah disampaikan oleh beberapa agensi terlibat antaranya Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB), Jabatan Bomba dan Penyelamat Daro dan Jabatan Kesihatan Hospital Daro.

Masyarakat yang hadir telah didedah informasi dan maklumat dari beberapa agensi tersebut menerusi taklimat bertajuk Jerebu Rentas Sempadan, Penguatkuasaan Terbuka, diikuti Kawalan Pembakaran Terbuka dan seterusnya Tip-tip Kesihatan Semasa Cuaca Jerebu.

Turut hadir Controller NREB Sarawak Justine Jok Jau Emang, Pegawai Daerah Daro Bujang Rahman Seli, Pegawai NREB Mukah Jefrin Azlan Abdullah, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daro Mohd Nor Abdullah, Pegawai Perhubungan Awam NREB Kuching Jonathan Indi dan Pemanca Bujang Razeli.