MIRI: Karnival Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) dan Industri Asas Tani semalam mendapat sambutan yang amat baik dan menggalakkan.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Sarawak Shahid Abu Bakar berkata, daripada pagi hingga petang pihak mereka melihat sambutan amat baik dan menggalakkan daripada pengunjung.

“Buah-buahan yang mendapat sambutan yang amat baik seperti buah salak, tembikai dan sebagainya.

“Buah-buahan tersebut bukan sahaja dibawa daripada Miri ia juga datang dari Bintulu, Lawas dan sebagainya,” katanya ditemui Suara Sarawak dalam karnival itu, hari ini.

Tambahnya, setakat hari ini ada antara gerai yang sudah mencapai jualan kira-kira RM4,000 pada hari pertama sahaja.

Foto: Page Ladang Kontrak MOA

“Kita hanya menyewakan gerai RM100 sahaja untuk tiga hari kepada para peniaga yang terlibat.

“Kami menyasarkan RM150,000 hasil jualan untuk tiga hari program ini berlangsung,” tegasnya.

Beliau menjelaskan program tersebut diadakan kali pertama diperingkat negeri, dan juga julung kali diadakan di Miri.

“Saya berharap agar program seperti ini dapat diadakan di bandar besar yang lain.

“Program seperti ini bukan hanya mendapat sokongan daripada Fama tetapi juga mendapat peruntukan dari Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani,” ujarnya.

Produk proses juga mendapat sambutan yang amat baik hari ini (semalam), kata beliau.

Menurutnya, pihak mereka membawa produk inovatif seperti buah-buahan yang dikeringkan dan terdapat produk tradisional seperti kek lapis, kelupis yang terkenal di Miri.

“Produk tersebut sudah ada pengedar di Kuching dan sebagainya.

“Di sini, pembeli dan pengguna boleh datang untuk menilai kualiti produk yang dijual sendiri secara terus dan dapat memberi kepuasan kepada pengguna,” katanya.

Beliau menggesa agar masyarakat di sekitar kawasan Miri dan Brunei datang ke karnival tersebut yang berlangsung di Bintang Megamall, di sini hari ini hingga 25 Ogos ini.

“Kita masih ada banyak stok buah-buahan dan kita berharap penduduk di sekitar kawasan tersebut untuk datang mendapatkan buah-buahan dan sebagainya.

“Ia adalah JDTL dan merupakan produk terpilih, kami juga menyediakan ‘happy hour’ pada jam 4 hingga 5 petang untuk pengunjung mendapatkan harga yang lebih murah berbanding biasa,” jelasnya.

Majlis perasmian yang akan berlangsung esok (24 Ogos) dijangka disempurnakan Menteri Pengangkutan merangkap Adun Senadin Lee Kim Shin kira-kira pada jam 3 petang.