MIRI: Jualan hari pertama 23 Ogos Karnival Jualan Terus Dari Ladang (JDTL) dan Industri Asas Tani yang berlangsung di Bintang Megamall, di sini berjaya memperoleh RM50,000 hanya dalam masa satu hari.

Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Sarawak Shahid Abu Bakar berkata, beliau menjangkakan jualan pada hari kedua akan mencecah RM100,000 kerana pengunjung lebih ramai daripada hari sebelumnya.

“Sambutan yang diberikan oleh pengunjung amat menggalakkan dan para peniaga menyediakan produk segar yang dibawa terus dari ladang.

“Kami membelanjakan RM50,000 untuk mengadakan karnival seperti ini dan kami yakin sasaran jualan yang ditetapkan dapat dicapai,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian, semalam.

Tambahnya, peserta yang terlibat terdiri daripada usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dari Miri, Lawas, Kuching, Samarahan dan kami mengharapkan semakin ramai pengunjung yang datang.

“Kami juga mengharapkan pengedar dapat berjumpa terus dengan para peniaga dalam karnival ini untuk mendapatkan bekalan dan bahan secara terus.

“Usahawan muda yang ada potensi terlibat kerana mempunyai semangat 80 peratus, jadi kita panggil Agro Bank jika mereka mahu membesarkan jualan,” jelasnya.

Produk Industri Asas Tani (IAT) mendapat sambutan yang tinggi pada hari pertama daripada buah-buahan.

“Saya berterima kasih kepada para pengunjung tempatan dan dari Brunei kerana dapat bersama-sama memeriahkan program anjuran kami kali ini.

“Saya berharap esok bersempena dengan hari terakhir semakin ramai pengunjung yang datang untuk membeli produk daripada gerai dalam karnival ini,” jelasnya.