SARIKEI: Lebih 300 peserta pelbagai agensi menyertai program Gotong Royong Perangi Aedes Sempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri, di sekitar bandar ini, hari ini.

Mereka terdiri daripada kakitangan pelbagai agensi kerajaan, Majlis Daerah Sarikei, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarikei, ahli Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

Program yang bermula jam 8.00 pagi itu dirasmikan ADUN N.45 Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii.

Hadir sama, Residen Bahagian Sarikei, Felicia Tan Ya Hua dan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei, Mahmudin Narudin.

Kerja pembersihan turut meliputi lapan zon termasuk pusat bandar, Dewan Sentral persekitaran Jalan Getah, Masjid Al Mutaqqin dan lain-lain lagi.

Huang menyempurnakan majlis perasmian sambil ditemani Residen Bahagian Sarikei, Felicia Tan Ya Hua dan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei, Mahmudin Narudin.

Pada masa yang sama, Huang berkesempatan meninjau keadaan di persekitaran Rumah Rehat Kerajaan Sri Nyelong.

Sehubungan itu dalam ucapan perasmiannya, beliau berkata, amalan gotong-royong perlu terus disuburkan bagi memastikan budaya murni itu terus kekal dan tidak luput ditelan arus pemodenan.

Malah katanya, aktiviti berkenaan mampu menjadi platform terbaik dalam memupuk perpaduan.

“Saya amat gembira dengan kesungguhan dan kerjasama yang ditunjukkan oleh kesemua peserta.

“Semoga apa yang lakukan hari ini memberi manfaat kepada masyarakat terutama menjelang sambutan Hari Kebangsaan tidak lama lagi.

“Saya amat berterima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang banyak melaksanakan pembangunan demi kesejahteraan rakyat Sarikei khususnya di DUN N.45 Repok,” tambahnya.

Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri dijangka bertambah seri dengan pelbagai acara menarik melibatkan penyertaan masyarakat setempat.

Huang berkesempatan meninjau keadaan persekitaran rumah rehat kerajaan Sri Nyelong.

 

Antara peserta yang hadir menjayakan program.