KUCHING: Empat lelaki tempatan ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah.

Mereka yang berusia 32 hingga 48 tahun ditahan dalam dua serbuan berasingan yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak di Kuching dan Sibu.

Ketua JSJN Sarawak, Superintendan Hasnir Abdul Hamid berkata kedua-dua operasi yang dijalankan pada jam 7.10 malam dan 12 tengah hari itu turut merampas dadah jenis syabu seberat 13 gram.

“Dalam serbuan pertama malam tadi, kami telah menahan tiga lelaki di tempat letak kereta di kawasan sebuah rumah Jalan Seroja KDB 3B, Sibu.

“Pemeriksaan lanjut terhadap suspek menjumpai dua paket bungkusan lutsinar dan satu keratan straw lutsinar mengandungi dadah dipercayai syabu seberat 5.226 gram,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dadah disyaki syabu seberat 5.226 gram berjaya dirampas

Beliau berkata, saringan awal air kencing suspek yang mempunyai rekod masalah lampau mendapati salah seorang daripadanya positif dadah.

Sementara itu, katanya serbuan kedua di sebuah rumah di Lorong Kampung Haji Drahman menahan seorang lelaki.

“Hasil pemeriksaan lanjut pihak kami menjumpai dadah disyaki syabu seberat 7.55 gram.

“Suspek yang disahkan turut positif dadah dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Kuching untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Menurut Hasnir, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.