KUCHING: Sebanyak 66 kes Parcel Scam bagi tempoh 1 Januari hingga 26 Ogos direkodkan berlaku di Sarawak, tahun ini.

Statistik tersebut sekaligus menunjukkan jumlah kerugian yang dialami oleh mangsa aktiviti tersebut dianggarkan sekitar RM3.4 juta.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak, Superintendan Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, polis kini sedang menjalankan risikan operasi bagi membanteras dan menggempur sindiket Parcel Scam daripada berleluasa pada tahun ini.

“Setakat ini kita telah membuat sebanyak 15 tangkapan melibatkan sindiket tersebut dari awal Januari hingga Ogos 2019,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, polis turut menerima laporan seorang wanita warga Brunei telah mengalami kerugian sebanyak RM153,500.00 akibat ditipu oleh suspek sindiket berkenaan.

“Mangsa mula ditipu bermula Jun 2019 dengan seorang kenalan lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Zacky daripada Amerika melalui aplikasi Whatsapp.

“Akibat dijanjikan barang kemas, mangsa telah membuat tiga kali transaksi ke akaun suspek bagi melepaskan barang tersebut yang dikatakan ditahan oleh Kastam Malaysia.

“Mangsa akhirnya sedar ditipu apabila menyedari jumlah pembayaran yang terlalu banyak dikenakan,” ulasnya lanjut.

Justeru, Mustafa turut mengingatkan kepada masyarakat awam agar tidak mudah terpedaya dengan panggilan palsu oleh mana-mana individu yang menyamar sebagai pegawai, anggota Polis, Kastam, dan rakan media sosial yang baru dikenali dan sebagainya.

“Diminta orang ramai yang melayari media sosial atau mendapat panggilan daripada individu yang mengaku daripada pihak berkuasa supaya lebih berhati-hati.

“Selain itu, jangan mudah terpengaruh sekiranya terdapat pihak atau individu yang meminta anda untuk membayar sebarang pembayaran sesuatu perkara,” ujarnya.

Tambahnya, masyarakat yang mempunyai kemusykilan atau berkemungkinan telah ditipu boleh menyalurkan maklumat mellui Whatsapp atau SMS ke Commercial Crime Investigation Department(CCID)Infoline di talian 013-2111222.

Sementara itu, sebanyak 102 kes dan 10 tangkapan melibatkan Parcel Scam bagi tahun 2018, sekaligus merekodkan kerugian dialami mangsa melebihi RM5.8 juta.