DARO: Kegembiraan wajah penduduk Kampung Baru di sini terserlah apabila penantian mereka untuk mendapatkan sebuah dewan serbaguna akhirnya menjadi kenyataan.

Kemudahan yang disediakan oleh kerajaan dengan peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) itu bukan sahaja boleh dimanfaatkan untuk menganjur program kemasyarakatan tetapi juga memberi peluang kepada mereka melakukan aktiviti riadah dan sukan.

ADUN N.43 Daro, Safiee Ahmad berkata, pembinaannya juga sebagai platform untuk memupuk semangat perpaduan dan kejiranan, selain digunakan sebagai pusat melaksanakan pelbagai aktiviti.

“Pada peringkat awal tidak ada kontraktor yang berminat terhadap projek ini dan terpaksa ditender dua kali sehingga menyebabkannya hanya dapat dilaksanakan pada 2018 dan siap sepenuhnya pada awal 2019.

“Dewan baharu ini memberi kemudahan serta tempat yang lebih selesa kepada lebih 1,800 penduduk Kampung Baru Hulu dan Kampung Baru Hilir untuk menganjurkan pelbagai program yang bermanfaat.

Safiee (tengah) dan Ahmad Johnie (kanan) memotong riben simbolik perasmian Dewan Sekudut Kampung Baru Daro.

Sehubungan itu, saya berharap kemudahan ini diurus serta dijaga dengan baik,” katanya.

Beliau memberitahu, projek yang menelan kos RM350,000 itu membuktikan Kerajaan Sarawak mendengar masalah rakyat dan berusaha untuk mengatasinya.

Menurutnya, projek berkenaan juga sebahagian daripada inisiatif kerajaan dalam usaha menyediakan kemudahan terbaik kepada rakyat.

“Sudah pasti, usaha Kerajaan GPS tidak hanya tertumpu kepada soal pembangunan infrastruktur tetapi merangkumi segenap sudut termasuk kebajikan di samping meningkat taraf ekonomi rakyat melalui pelbagai pendekatan yang sesuai,” katanya.

Pada majlis yang sama beliau menyumbangkan enjin pam untuk kegunaan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Daro, sebanyak 200 buah kerusi plastik kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Kampung Baru dan 16 unit kompang untuk Persatuan Hadrah Kampung Baru.

Hadir sama Ahli Parlimen P207 Igan, Ahmad Johnie Zawawi dan pemimpin masyarakat.

Kedua-dua pemimpin bersama Kumpulan Kompang Kampung Baru.

 

Mengabadikan kenangan beramai-ramai di Dewan Sekudut sejurus selesai program.