BINTULU: Berpantang maut sebelum ajal, itulah pepatah tepat menggambarkan tragedi menimpa seorang lelaki yang hanya cedera ringan selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah kenderaan salon di Jalan Sultan Iskandar di sini.

Dalam kejadian jam 7.50 pagi itu, motosikal yang ditunggang Darius Kuja Kelin, 21,sedang bergerak laju dari arah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bintulu menuju ke pusat bandar.

Namun, ketika tiba di satu laluan lurus, mangsa telah merempuh kenderaan yang dipandu Farhawa binti Zamri,29, yang kebetulan keluar dari simpang Jalan Sultan Iskandar hingga menyebabkan berlakunya insiden rempuhan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu dalam satu kenyataan media mengesahkan, impak rempuhan tersebut menyebabkan motosikal mangsa terbabas lalu terbalik di tengah jalan.

Bagaimanapun, katanya, mangsa hanya mengalami kecederaan pada bahagian kaki kiri dan dirujuk ke Hospital Bintulu bagi mendapatkan rawatan.

MALANG TIDAK BERBAU: keadaan motosikal ditunggang mangsa selepas merempuh sebuah kenderaan salon di Jalan Sultan Iskandar, Bintulu.