SARIKEI: Kreativiti pelajar pendidikan khas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Sarikei menghasilkan Jalur Gemilang menggunakan manik menjulang nama Sarawak apabila mencatat suatu rekod baharu dalam Malaysia Book Of Record.

Jalur Gemilang manik yang bersaiz 3.79 meter panjang dan 1.56 meter lebar itu dihasilkan oleh seramai 20 pelajar yang berusia lingkungan 16 tahun.

Sehubungan itu, ADUN N.45 Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii menyifatkan kejayaan tersebut sebagai pencapaian luar biasa dan membanggakan seluruh warga Sarawak.

“Saya difahamkan mereka menggunakan lebih 1,000 biji manik dan memperuntukan masa empat bulan untuk menyiapkannya. Tahniah untuk seluruh warga SMK Bandar Sarikei,” katanya ketika menyempurnakan majlis Pelancaran Sambutan Bulan Kemerdekaan ke 62 SMK Bandar Sarikei, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Huang memberitahu, sebanyak RM1,246,800 disalurkan sebagai peruntukan untuk membaikpulih dan membina kemudahan bagi memastikan keselesaan pelajar dan guru di SMK Bandar Sarikei.

Huang kagum melihat Jalur Gemilang manik yang dihasilkan oleh pelajar pendidikan khas SMK Bandar Sarikei.

Katanya, peruntukan itu digunakan untuk melaksanakan pelbagai projek di kawasan sekolah berkenaan sejak tahun 2016.

“Ini membuktikan keprihatian Kerajaan Sarawak dalam usaha meningkatkan prasarana sekolah sekaligus memastikan pelajar menimba ilmu dalam suasana yang lebih selesa.

“Saya berharap kemudahan bernilai keseluruhan yang disediakan kerajaan ini dijaga dan dimanfaatkan dengan sebaik mungkin oleh warga SMK Bandar Sarikei.

“Saya juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tum Abang Openg di atas peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) untuk menaiktaraf dan membaikpulih sekolah-sekolah di kawasan Repok,” katanya.

Beliau juga berkata, rakyat Malaysia bertuah mengecapi keharmonian hidup dalam negara yang berdaulat dan merdeka.

Dengan nikmat kemerdekaan katanya, rakyat hidup dalam suasana, aman dan makmur.

“Perpaduan kaum merupakan suatu nikmat yang tidak ternilai. Ia perlu dihargai dan dipertahankan agar kekal selama-lamanya,” tambahnya.

Hadir sama Penolong Kanan Pentadbiran SMK Bandar Sarikei, Latip Mat, Pegawai Pendidikan Daerah, Faustino Frederick Empran, Pengurus Pejabat, Malaysia Book of Records, Lee Pooi Leng, Penganalisis Penyelidikan Malaysia Book of Records,Nurul Fatihah Mahmood, dan Yang Dipertua PIBG SMK Bandar Sarikei, Ling Wen Kwang.

Huang (tengah) bersama tetamu jemputan yang lain.

 

Program berlangsung dalam suasana meriah.