BINTULU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna(KPDNHEP) akan memastikan semua syarikat pengangkutan yang dilantik untuk menghantar bekalan komoditi utama mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan oleh kementerian.

Timbalan Menterinya Chong Chieng Jen berkata ia bagi memastikan subsidi dapat dinikmati oleh penduduk di kawasan pedalaman.

Katanya, Kerajaan memperuntukkan RM140 juta bagi menanggung kos pengangkutan dengan RM80 juta adalah untuk Sarawak di bawah program Penyeragaman Harga Kementerian berkenaan.

Program Penyeragaman Harga bertujuan memastikan masyarakat luar bandar dapat membeli barangan komoditi utama pada kadar harga yang sama seperti di bandar, katanya selepas melakukan tinjauan dan pemeriksaan di dua Point of Sales(POS), masing-masing di Rumah Jumput Anak Senduk, Nanga Jita dan Rumah Nyalu Anak Tabor, Sungai Sedarah, Tatau di sini.

Pada masa yang sama, beliau berpuas hati terhadap pematuhan harga oleh dua POS yang dikunjungi selain mendapati bekalan komoditi utama mencukupi.

Chong yang ditemani Ketua Seksyen Penguatkuasa KPDNHEP Sarawak Zulkipli Saidi, Ketua Unit Komunikasi Korporat KPDNHEP Yunus Tasim, kemudiannya, mengadakan lawatan singkat ke pejabat KPDNHEP Bintulu untuk bertemu dengan pegawai dan berdialog dengan mereka.