KUCHING: Dua pelajar sekolah menengah disyaki terlibat kes buli telah ditahan polis, hari ini.

Maklumat awal menerusi video insiden kes sekumpulan remaja yang menyerang seorang pelajar di dalam sebuah video viral di laman media sosial baru-baru ini kini sedang dalam siasatan.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Awang Din Awang Din Awang Gani berkata, enam individu di dalam insiden dipercayai berlaku pada 27 Ogos sekitar pukul 8 pagi di belakang hotel di Jalan McDougall telah dikenalpasti.

Menurut beliau, dua daripada suspek telah berjaya ditahan manakala usaha mencari empat lagi individu(suspek) kini sedang dijalankan.

“Kesemua tujuh individu termasuk mangsa berusia antara 14 hingga 16 tahun adalah pelajar sekolah menengah sekolah terkenal di Kuching.

GAMBAR: Video suspek memukul mangsa viral di laman sosial Facebook

“Saya menyeru agar suspek menyerah diri dengan segera, bagi sesiapa yang mengenali mereka juga boleh menyalurkan dan memberi maklumat kepada polis,” katanya.

Menurut beliau, mangsa merupakan pelajar berusia 14 tahun mengalami lebam di muka, kepala dan belakang.

Beliau menegaskan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana rusuhan.

“Siasatan mendapati kejadian berlaku selepas suspek marah kepada mangsa yang didakwa mencuri peranti e-rokok milik salah seorang suspek.

“Suspek mula menyerang mangsa sementara yang lain menimbulkan kemarahan dan bersorak supaya suspek bertindak berlanjutan.

“Video itu dirakam oleh salah seorang suspek dan kemudiannya disiarkan di media sosial,” katanya ketika dihubungi.

Awang menasihatkan ibu bapa supaya mengawasi anak-anak mereka yang masih bersekolah atau belajar agar tidak terlibat dalam isu-isu disiplin.