MIRI: Seorang nenek ditahan positif dadah hasil Op Osc Mids Subis sekitar jam 11.30 malam sehingga 7 pagi, semalam.

Ketua Agensi Anti Dadah Kebangsaan(AADK), Mazlan Jikran berkata, suspek, 46, antara 32 individu berusia 17 hingga 50 tahun ditangkap hasil operasi di kawasan Niah dan Bekenu.

“Hasil pemeriksaan ujian saringan urin terhadap 39 orang suspek, 32 daripadanya disahkan positif dadah jenis Syabu.

“Tangkapan seramai 32 tersebut melibatkan seorang wanita, selebihnya adalah lelaki,” jelas beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, kesemua suspek ditahan dibawah Seksyen 3 Akta Penagih Dadah Rawatan dan Pemulihan 1983.

Sementara itu, menurutnya lagi, operasi tersebut merupakan hasil kerjasama daripada pihaknya bersama Polis Diraja Malaysia(PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM), Jawatankuasa Penduduk(JKP), dan Rela kawasan Miri.

Jelas beliau, operasi telah dijalankan pada dua hari dari 29 hingga 30 Ogos 2019.