MUKAH: Adun Tellian Yusibnosh Balo berhasrat agar Perlumbaan Sukan Tradisional Bidar Lukut di Kampung Tellian Ulu dapat dimasukkan sebagai satu tarikan utama dalam kalendar pelancongan di Sarawak.

Katanya dengan hasrat tersebut beliau mahu pihak jawatankuasa Perlumbaan Bidar Lukut yang terlibat berbincang dengan pihak Pejabat Daerah mengenai usaha untuk menjadikan ia sebagai acara rasmi tahunan bagi tarikan aktiviti pelancongan khususnya di Mukah.

“Jika boleh acara Bidar Lukut ini dimasukkan di dalam kalendar tahunan di Mukah sama ada setiap 31 Ogos ataupun tarikh tarikh tertentu setelah diputuskan nanti.

“Jadi sebab itu memang setiap tahun kita akan berikan peruntukan kepada pihak jawatankuasa jalankan perlumbaan ini dan kita bersyukur dengan kerjasama Kelab Sukan dan Rekreasi Tellian Dagen Daya (Tujunokala) kita dapat jayakan program pada hari ini,” katanya berucap dalam majlis perasmian Perlumbaan Bidar 8 Salui Lukut Piala GPS di Litar Alan Rossi Kampung Tellian Ulu hari ini.

Tambahnya menerusi usaha Tujunokala menjadi pencetus membangunkan sukan tradisional masyarakat Melanau ini beberapa tahun lalu, kini jelasnya semakin banyak kampung-kampung di sekitar Mukah berminat untuk mengikut perlumbaan Bidar Lukut ini malah ia turut diadakan di kampung-kampung lain.

Yusibnosh Balo

“Jadi ini menunjukkan ia satu galakan bagi kita mahu menjadikan ia sebagai acara rasmi tahunan dan kita mahu apabila perlumbaan berhenti ia dapat diteruskan lagi untuk hari-hari mendatang.

“Melalui itu kita boleh mencadangkan usaha ini dalam masa terdekat atau tahun depan melalui bahagian Tourism Task Group (TTS), dalam usaha menjadi salah satu tarikan utama bagi pelancong untuk melihat sendiri perlumbaan ini,”ujarnya.

Dari segi permohonan dan peruntukan membina sebuah tapak rasmi perlumbaan tersebut, katanya permohonan yang diberikan perlu disertakan dengan lakaran ringkas atau pelan awal tapak berkenaan.

“Apa yang penting kita mahu pihak jawatankuasa yang terlibat dapat berunding dengan penduduk kampung yang berdekatan untuk memberi sedikit ruang, dan apabila tapak telah dipersetujui oleh penduduk berdekatan, jadi tiada masalah bagi kita berikan peruntukan kerana kita tidak mahu ia tertangguh dengan masalah tapak yang dihadapi.

“Menjadi harapan kita juga agar Sukan Bidar Lukut bukan sahaja dimainkan pada bulan kemerdekaan, kita mahu ia dapat dibuat empat atau dua kali setahun mengikut keadaan air sungai yang sesuai, dan yang penting kita tidak mahu mereka lupa dengan peraturan perlumbaan dan persiapan litar agar sentiasa digunapakai,” katanya.

Dalam perlumbaan kali ini penyertaan sebanyak 228 bidar telah diterima, yang terdiri dari penduduk kampung sekitar Bahagian Mukah.

Dari segi permainan Bidar Lukut ini, faktor arah dan kelajuan angin memainkan peranan penting menetukan kelajaun bidar yang bergerak melalui daun Lukut yang berfungsi sebagai layar membawa bidar ke penghujung garisan.

Sekitar tapak Perlumbaan Bidar 8 Salui Lukut Piala GPS di Litar Alan Rossi Kampung Tellian Ulu semalam

Suasana sewaktu perlumbaan dibuat di Tapak Litar Perlumbaan Bidar Lukut semalam