Bayblade dan ‘E-Sport’ antara yang dipertandingkan di KASUS, 6-8 September ini

MUKAH: Suatu ketika dahulu Sarawak pernah dikenali sebagai satu kuasa sukan yang digeruni di Malaysia.

Bagi terus mendokong usaha tersebut, kini Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang juga Presiden Seberkas terus berhasrat mahu Sarawak menjadi sebuah kuasa sukan utama di Malaysia.

Sehubungan itu, Saberkas Cawangan Balingian akan menganjurkan Karnival Sukan Saberkas (Kasus) 2019 peringkat Cawangan Balingian yang bakal diadakan 6 hingga 8 September tahun ini, bertempat di Padang Mesra Mukah.

Majlis perasmian Kasus tersebut akan disempurnakan oleh Adun Balingian, Abdul Yakub Arbi yang juga pengerusi Saberkas Cawangan Balingian.

Selaku Penyelaras Program, Royston Valentine berkata untuk karnival peringkat cawangan tersebut pelbagai acara sukan dan aktiviti akan dipertandingkan terbuka kepada orang ramai, terutama belia dan warga Mukah.

“Antara acara yang bakal dipertandingakan ialah Futsal Padang, Bola Jaring, Badminton Berpasukan, Saberkas Hash Run, Sukan Tradisional, Pertandingan Karaoke, Tenis, Ping-Pong, Memanah Tradisional, Zumba, dan Pertandingan Mewarna Kanak-kanak.

“Turut dipertandingkan acara yang mendapat perhatian kini ialah pertandingan Bayblade dan juga Pertandingan e-Sukan. Dalam pada itu kita juga akan membuka ruang untuk orang awam bagi mendaftarkan diri mereka sebagai ahli Saberkas,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak.

Tambahnya lagi objektif utama Kasus tersebut ialah untuk mengwujudkan platform bagi setiap ahli Saberkas berkumpul dan mengeratkan hubungan antara cawangan, selain mampu mencungkil bakat-bakat sukan dan kepimpinan dalam kalangan ahli.

“Ini juga menjadikan Saberkas berupaya menjadi agen pembantu dalam pembangunan sukan Sarawak, dalam usaha mendukung setiap aspirasi yang membawa kebaikan kepada masyarakat khasnya menjadi mewujudkan pentas kepada ahli untuk beraksi dalam acara sukan yang diminati di peringkat Saberkas,” ujarnya.

Jelasnya, terdapat tiga sukan utama yang harus dianjurkan menerusi Kasus iaitu Futsal, Bola Jaring dan Badminton kerana tiga acara tersebut akan dipertandingkan pada peringkat Negeri Sarawak di Kuching pada tahun hadapan.

“Jadi menerusi Kasus ini ia adalah medium terbaik bagi masyarakat mahupun ahli untuk menyerlahkan bakat sukan mereka dan berupaya mewakili cawangan ke peringkat seterusnya, oleh itu semua komuniti diajak untuk turut serta bagi memeriahkan karnival selama tiga hari ini,” ujarnya.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang karnival dan acara-acara yang dipertandingkan, orang ramai boleh menghubungi Royston Valentine di talian 019-8187880, Syafiq di 010-3445744 dan Tarmizi Karnain di 016-8767504.

Royston Valentine
 
Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak